Penyanyi Aina Abdul tampil dengan pendekatan muzik yang berbeza menerusi dua single terbaharunya, 'Berjauh-an' dan 'Sadis', yang disifatkan lebih santai berbanding karya-karya terdahulu yang sering menonjolkan kekuatan vokalnya pada nada tinggi.
Bagaimanapun, Aina menegaskan perubahan tersebut bukan bermakna dia meninggalkan identiti muzik yang selama ini menjadi kekuatannya dalam industri hiburan.
Menurut Aina, dia hanya mahu meneroka dimensi baharu dalam berkarya tanpa mengorbankan DNA muzik yang sudah sebati dengan dirinya.
“Saya tidak akan lupakan DNA dan identiti muzik saya. Cuma saya harap anda semua bersabar kerana saya ini seorang penyanyi yang tidak biasa menyanyi tinggi sepanjang masa.
“Saya pun akan letih kalau menyanyi tinggi sentiasa. Kalau tengok perjalanan saya, setiap tahun nota yang saya nyanyikan semakin tinggi. Jadi graf itu sentiasa meningkat.
“Tahun ini saya mahu ubah strategi. Mungkin notanya tidak terlalu tinggi, tetapi perasaannya lebih berat dan mendalam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi lagu 'Sepi' itu turut menjelaskan setiap artis perlu berkembang mengikut peredaran masa dan memahami citarasa generasi pendengar yang sentiasa berubah.
Menurutnya, usaha menghasilkan karya yang lebih dekat dengan jiwa pendengar masa kini merupakan antara faktor yang mendorong perubahan tersebut.
“Saya sangat menghargai pendengar yang sentiasa menyokong saya. Saya sayang anda semua. Namun dalam masa yang sama, saya juga mengimpikan untuk mempunyai lebih ramai pendengar baharu.
“Saya percaya dalam industri ini, kita semua perlu berkembang. Saya juga mahu berkenalan dengan lebih ramai orang melalui muzik saya. Saya juga mahu menarik pendengar generasi baharu.
“Saya perlu memahami apa yang mereka suka dengar dan apa yang dekat dengan jiwa mereka. Apa yang saya lihat, generasi sekarang sangat menghargai mesej yang jujur dan mudah difahami. Jika mesej itu sampai dengan baik, saya percaya lagu tersebut akan diterima,” kongsinya.
Dalam masa sama, Aina mengakui langkah keluar daripada zon selesa mungkin mengundang pelbagai persepsi, terutama apabila sesetengah pihak mengaitkan kejayaan sesebuah lagu dengan keupayaan penyanyi mencapai nota tinggi.
Namun baginya, kekuatan sesebuah karya terletak pada kejujuran penyampaian dan emosi yang dibawa, bukannya semata-mata aspek teknikal vokal.
“Kalau kita bercakap tentang pertandingan seperti AJL atau AIM, ramai yang beranggapan seseorang penyanyi perlu mencapai nata tertentu untuk memenangi anugerah.
“Tetapi kalau kita lihat penyanyi seperti Amir Jahari, Ana Raffali dan Yuna, mereka mampu menyampaikan emosi yang sangat kuat tanpa perlu menjerit atau menyanyi terlalu tinggi.
“Bagi saya, semua itu subjektif. Apa sahaja genre yang dibawa, jika cerita dan mesejnya datang dengan kejujuran, saya harap orang ramai dapat merasainya. Itu sudah cukup. Kemudian orang yang tepat akan datang dan meminati lagu tersebut,” jelasnya.
Mengulas mengenai sambutan terhadap lagu 'Sadis', Aina meluahkan rasa syukur apabila karya ciptaan komposer Indonesia, Vega Antares itu berjaya menarik perhatian kelompok pendengar yang sebelum ini tidak mengikuti perkembangan muziknya.
“Setakat ini saya sangat gembira dengan penerimaan terhadap Sadis. Terus terang saya cakap, saya tidak pernah ada begitu ramai orang menggunakan lagu saya di TikTok sehingga mencecah ribuan video.
“Mungkin orang nampak yang indah-indah sahaja seperti AJL dan AIM, tetapi saya juga ada perjuangan saya sendiri. Kali ini saya rasa orang benar-benar cuba menerima saya.
“Ada juga yang sebelum ini tidak suka saya, tetapi selepas mendengar Sadis, mereka mula menyukai saya. Itu satu perubahan yang baik dan saya sangat bersyukur,” ujarnya.
0 Comments
|8 Views
No Comments yet
Be the first to comment.