Pelakon Zul Yahya berdepan dugaan dalam kehidupannya apabila perniagaan makanan yang diusahakan dilaporkan kurang stabil, sekali gus menjejaskan keadaan kewangan beliau dan keluarga.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya, 53, berkongsi luahan perasaan menerusi siaran langsung di TikTok yang kemudian menarik perhatian pengguna media sosial.
Perkongsian itu tular selepas seorang pengguna Threads, Azrul Hanaffi, mendakwa pelakon berkenaan sedang melalui fasa sukar apabila perniagaan premis makanannya berdepan cabaran.
"Saya baru tengok siaran langsung Zul, dia cakap bisnes kedai makan sedang teruk, anak bini kena tidur dekat kedai dan bil TNB (elektrik) rumah tertunggak."
Menurutnya, keadaan kewangan yang terhimpit itu dipercayai menyebabkan keluarga Zul terpaksa tinggal sementara di premis perniagaan berikutan kesukaran menampung bil utiliti rumah.
"Dia cadang nak cari tempat yang ada orang ramai, tapi modal tak cukup," tulisnya.
Dalam masa sama, individu terbabit turut menyeru orang ramai yang berkemampuan agar membantu meringankan beban ditanggung pelakon filem era 90-an itu.
"Saya pun dapat sedekah yang mampu sahaja. Kalau awak semua sudi tolong, cuba hubungi dia. Insya-Allah dipermudahkan," katanya.
Terdahulu, Zul pernah berhijrah ke Ipoh, Perak bagi mengusahakan restoran steamboat dan BBQ di Meru Raya sebelum berpindah ke Klebang Putra serta menjenamakan semula perniagaannya sebagai Zul Yahya Recipe yang mengetengahkan menu masakan kampung.
Selain itu, beliau juga aktif menyertai karnival jualan makanan di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur bagi menampung pendapatan.
Setakat ini, usaha mendapatkan maklum balas daripada Zul Yahya masih diteruskan.
0 Comments
|6 Views
No Comments yet
Be the first to comment.