Legenda rock tanah air, Awie menjelaskan larangannya terhadap anak lelaki, Putra Ahmad Merrah, untuk terlalu aktif dalam dunia seni bukan bermaksud mahu menyekat bakat yang dimiliki.
Sebaliknya, Awie mahu anaknya itu memberi keutamaan kepada pengajian di universiti dan menamatkan pelajaran terlebih dahulu sebelum menceburi bidang seni secara serius.
"Darah seni Merrah memang sudah nampak sejak kecil. Dia boleh main gitar, dram, menyanyi dan berlakon. Saya rasa itu memang minat dia.
"Tetapi yang saya mahu utamakan ialah pelajaran. Sekarang dia berada di universiti, jadi saya mahu dia fokus belajar dulu,” katanya pada sidang media Konsert 3 Veto.
Tambah vokalis Wings itu, dia mahu anaknya pulang dengan kejayaan akademik sebelum memilih laluan seni.
"Bila sudah habis belajar, balik dan tunjuk sijil. Jadilah artis yang berilmu.
"Jangan jadi artis yang glamor dan ada nama tetapi tidak berilmu," ujarnya.
Awie turut mengakui jadual seni Merrah agak padat ketika Aidilfitri lalu, namun anaknya berjanji untuk memperlahankan aktiviti seni buat sementara waktu.
"Kadang-kadang saya sendiri yang tawarkan kerja tertentu untuk dia. Sedikit-sedikit tidak mengapa.
"Tetapi jangan sampai terlalu padat sampai pelajaran tertinggal. Saya tak mahu begitu. Saya mahu dia berjaya macam kakak-kakaknya," katanya.
Menurut Awie, dia tidak mahu anaknya melalui perjalanan sukar seperti yang pernah ditempuhnya sepanjang membina nama dalam industri seni.
"Saya mahu fikirkan hidup dia dulu. Belajar, jadi orang yang elok, kemudian buatlah langkah sendiri.
"Jangan ikut langkah saya sebab saya melalui proses yang susah. Saya tak mahu anak saya lalui benda sama," jelasnya.
Ketika ditanya sama ada Merrah akan diserap sebagai pelapis dalam kumpulan Wings, Awie berkata perkara itu belum pernah terlintas dalam fikirannya.
Dalam perkembangan lain, Search, Wings dan XPDC bakal bergabung dalam Konsert 3 Veto yang dijadual berlangsung di Megastar Arena pada 1 Ogos depan.
0 Comments
|6 Views
No Comments yet
Be the first to comment.