Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pengarah dan pelakon Aziz M. Osman menyifatkan filem aksi Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid sebagai sebuah karya berkualiti tinggi dengan hasil produksi yang cemerlang.
Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Othman berkata, pencapaian filem tersebut membuatkannya lebih yakin terhadap kemajuan industri filem tempatan, malah secara berseloroh mengakui dia sudah boleh bersara dengan tenang.
"Tarung bukan sekadar filem komoditi untuk dijual kepada massa. Ini filem yang sangat serius.
"Sinematografinya tinggi. Pelakonnya, reka bentuk produksinya semuanya bertaraf tinggi.
"Eli, aku boleh bersara dengan selesa," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.
Menurut Aziz, pada awalnya dia tidak terlalu berminat untuk menonton filem tersebut kerana menganggap tema pertarungan sudah terlalu banyak diangkat dalam filem tempatan dan antarabangsa.
"Semalam Beto tanya saya, abang dah tengok filem Tarung?
"Saya jawab belum. Bukan tak nak tengok sebab cerita orang jantan masuk gelanggang dah banyak kali saya tengok sejak zaman Van Damme, Bloodsport.
"Dilema hero, tutup buku, kena cabar, kemudian bangkit semula. Jadi tarikan untuk saya menonton agak perlahan," ujarnya.
Bagaimanapun, selepas menonton sendiri di pawagam, Aziz mengakui persepsinya berubah apabila melihat kekuatan penceritaan yang dibawa pengarah.
Katanya, kelebihan utama Tarung terletak pada kebijaksanaan Razaisyam memanipulasi struktur naratif biasa dalam genre aksi hingga berjaya memberi kesan emosi kepada penonton.
"Hasil penilaian saya, kekuatan Tarung adalah kecerdikan Eli memanipulasi template cerita yang sudah lumrah.
"Pada babak pertama, bila hero memarahi kakaknya, 'Kau selalu ingat aku perlukan kau!', perasaan saya terus tersentuh.
"Saya jadi marah dengan hero yang tidak menghargai pengorbanan kakaknya. Tanpa sedar saya sudah hanyut dengan konflik peribadi mereka.
"Selepas menonton, dalam hati saya kata Eli berjaya tipu aku," katanya.
Untuk rekod, Tarung: Unforgiven merupakan filem terbitan syarikat Alpha47 milik pelakon Aedy Ashraf yang turut membintangi naskhah tersebut.
Turut membarisi filem berkenaan ialah Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Sky Iskandar dan Aeril Zafrel.
Tarung: Unforgiven mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 7 Mei lalu dan selepas seminggu tayangan, filem itu dilaporkan meraih kutipan RM10.5 juta.
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|6 Views
No Comments yet
Be the first to comment.