David Teo Tiada Niat Cipta Gimik, Gandingan Aliff Aziz Dan Uqasha Itu Takdir

Pemilik MIG Productions, David Teo, menegaskan gandingan pelakon Aliff Aziz dan Uqasha Senrose dalam drama terbaharu berjudul Madu Atau Racun bukan strategi menangguk di air keruh, sebaliknya berlaku atas ketentuan takdir, bukan gimik untuk mengejar rating.


David berkata, pemilihan kedua-dua pelakon bagi naskhah yang bakal ditayangkan di platform iQIYI itu sama sekali tidak dirancang sejak awal, sebaliknya berlaku selepas beberapa calon asal menarik diri.


"Dari segi perancangan awal, kami langsung tidak terfikir mereka berdua akan bertemu dalam projek ini.


"Ia bukan sesuatu yang dirancang seperti didakwa segelintir pihak kononnya kami sengaja mahu mencipta kontroversi.


"Sebenarnya, kami sudah mencari beberapa pelakon gred A, namun ada yang tiada masa, ada yang menarik diri pada saat akhir, selain meminta bayaran terlalu tinggi.


"Kemudian, tawaran dibuat kepada Uqasha dan dia bersetuju. Kami anggap ini sebagai ketentuan atau 'jodoh' untuk bekerjasama," katanya kepada BH Online.


Mengulas kecaman netizen termasuk ugutan untuk memboikot drama berkenaan, David meminta orang ramai berhenti mengungkit kesilapan lampau seseorang individu.


Katanya, setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan tindakan memboikot hanya akan menutup peluang kedua buat pelakon untuk memperbaiki diri.




"Mengapa perlu terus mengutuk dan mahu memboikot? Kenapa tidak cermin kesilapan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menghukum orang lain?


"Jika ibu bapa atau pasangan kita sendiri tidak memaafkan kesilapan kita, bagaimana perasaan kita? Jadi mengapa kita tidak boleh memaafkan dan memberi peluang kedua kepada mereka?" katanya.


David turut menegaskan perceraian tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat kerjaya seni seseorang, memandangkan ia adalah perkara yang lumrah berlaku dalam masyarakat.


Dalam masa sama, beliau meluahkan kehairanan terhadap sikap segelintir netizen yang dilihat meletakkan standard berbeza dalam menilai isu perceraian membabitkan selebriti.


"Perceraian bukan perkara luar biasa. Ada yang bercerai dua kali dan berkahwin semula secara besar-besaran, tetap mendapat sokongan ramai.


"Jadi, mengapa dalam kes ini timbul isu mahu memboikot?" katanya.


Menyentuh kemungkinan impak boikot terhadap jumlah tontonan, David berkata dia bersedia menerima apa jua ketentuan, namun tidak akan merayu penonton untuk menonton drama terbitan syarikatnya.


"Tuhan yang menentukan segalanya. Kita tidak boleh menghalang atau merayu orang untuk menonton.


"Jika mahu menonton, silakan. Jika tidak, kami tidak boleh memaksa," katanya.


David dalam masa sama berharap penonton dapat melihat isu ini dari sudut lebih positif dan memahami bahawa setiap insan berhak untuk terus bekerja demi kelangsungan hidup.


"Semua orang melakukan kesilapan, tetapi mengapa kita tidak memberi ruang untuk memaafkan?


"Mengugut mahu memboikot seolah-olah kita sendiri tidak pernah melakukan kesilapan.


"Jangan terlalu merasakan diri sentiasa betul kerana tidak mustahil apa yang menimpa selebriti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," katanya.


Drama Madu Atau Racun arahan Eyra Rahim yang mengandungi 12 episod dijadual memulakan penggambaran pada 19 Januari ini.


Sumber: Harian Metro



0 Comments

|

135 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content