Ditipu Artis Veteran, Ibu Puteri Balqis Kongsi Kisah Hitam Ketika Terdesak Cari Rawatan Anak

Ibu kepada pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz berkongsi pengalaman hitam yang pernah menghantui hidupnya ketika anaknya berdepan masalah penglihatan dan berada dalam keadaan sangat terdesak.


Menerusi sebuah audio siar, Norashikin atau Shikin, ketika itu dia berada dalam tekanan emosi hanya memikirkan untuk menyelamatkan anaknya. Dalam situasi tersebut, dia didatangi seorang artis veteran yang menawarkan bantuan melalui seorang ahli politik.


Apa yang lebih meyakinkan, kata Shikin, bantuan tersebut dikatakan ikhlas dan tidak memerlukan sebarang publisiti atau liputan media, sekali gus membuatkan dia langsung tidak mengesyaki sebarang niat buruk.


"Ketika Aqish (panggilan Puteri Balqis) sakit dan keadaan kami sangat terdesak, berita tentang situasinya tersebar. Ada seorang artis veteran datang berjumpa saya dan memaklumkan seorang ahli politik sanggup membantu membawa Aqish berjumpa doktor pakar.


"Dia beritahu bantuan itu tak perlukan kamera atau perhatian. Saya pula benar-benar terdesak, jadi saya setuju," katanya.


Berkongsi lanjut, Norashikin berkata dia membawa Aqish ke Brickfields sebelum singgah di sebuah restoran mamak. Namun, atas permintaan artis veteran berkenaan, Shikin diminta meninggalkan anaknya buat sementara waktu sebelum dibawa menaiki kereta bersama artis veteran dan ahli politik terbabit ke sebuah rumah dua tingkat di kawasan yang asing baginya.


Setibanya di rumah tersebut, perasaan tidak sedap hati mula menyelubungi Norashikin apabila menyedari hanya terdapat dirinya dan artis veteran itu sahaja sebagai wanita, manakala kira-kira enam lelaki lain berada di dalam rumah berkenaan.


Keadaan menjadi semakin meresahkan apabila dia dimaklumkan Aqish akan dibawa berjumpa doktor pakar, namun individu yang dijanjikan itu langsung tidak kelihatan.


Norashikin berkata ketika itu dia mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila beberapa syarat pelik dikemukakan kononnya sebagai jalan untuk 'merawat' Aqish.




"Antaranya, saya perlu berkahwin dengannya, Aqish akan dihantar ke luar negara sehingga usia 21 tahun dan saya langsung tak dibenarkan berhubung dengan anak saya.


"Saya diwajibkan bertudung apabila keluar rumah, namun tidak dibenarkan bertudung apabila rakan-rakannya berada di dalam rumah. Saya juga tidak dibenarkan berjumpa sesiapa dan hanya perlu tinggal di rumah," dedahnya.


Situasi menjadi semakin sukar apabila seorang lagi individu masuk ke dalam bilik tersebut sebelum berlaku perkara tidak diingini. Atas faktor keselamatan dan emosi, Norashikin memilih untuk tidak berkongsi peristiwa itu secara terperinci.


Selepas kejadian berkenaan, Norashikin dihantar semula ke Brickfields untuk mengambil Aqish yang setia menunggu kepulangannya.


Menurut Norashikin, setibanya di rumah dia membuang semua pakaian yang dipakai ketika kejadian tersebut kerana tidak sanggup mengingati kembali peristiwa berkenaan.


"Banyak perkara berlaku yang tidak 100 peratus mengikut kehendak saya. Saya tak mampu ceritakan kerana terlalu menyakitkan untuk dikenang.


"Aqish tanya sama ada kami jumpa doktor. Saya beritahu doktor sibuk dan saya akan cari doktor lain.


"Saya campak dan buang semua baju yang saya pakai waktu jumpa mereka sebab saya memang tak sanggup tengok baju itu lagi," katanya.


Norashikin turut mendedahkan bahawa kisah hitam itu hanya diketahui oleh suaminya kini, Faris, yang setia menyimpan rahsia berkenaan selama bertahun-tahun.


Dalam masa sama, Norashikin merakamkan penghargaan buat Faris yang sentiasa berada di sisi serta menerima baik buruk dirinya ketika mereka melalui fasa kehidupan yang sukar.


Menurutnya, Faris bukan sekadar pasangan hidup, malah menjadi penyokong terkuat buat dirinya dan Aqish ketika berdepan pelbagai ujian.


"Saya hanya cerita perkara ini kepada Faris. Dia simpan rahsia itu bertahun-tahun dan hari ini baru saya berani bersuara.


"Faris ialah seorang sahabat yang sangat baik pada waktu itu. Dia tidak pernah menolak untuk membantu kami, sehinggalah kami bernikah. Terima kasih kerana menjadi suami yang sangat baik, walaupun usianya jauh lebih muda," ujarnya.


Pendedahan itu dikongsikan Norashikin menerusi satu temu bual podcast SembangOhhYeahh di YouTube pada malam Sabtu.


Sumber: mStar



0 Comments

|

171 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content