Fikry Ibrahim Terkejut Spekulasi Rumah Tangga Goyah Gara-Gara Tak Kongsi Gambar Dengan Isteri

Tidak memuat naik gambar bersama isteri semasa Aidilfitri baru-baru ini tidak semestinya membawa maksud rumah tangga pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim sedang bermasalah.

Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, menafikan dakwaan rumah tangganya masih bergolak seperti yang berlaku sebelum ini.

"Dakwaan kononnya masih berantakan itu adalah satu perkara yang salah dan saya rasa ia sekadar spekulasi. Saya percaya sumbernya berpunca daripada saya yang tidak berkongsi gambar.

"Saya rasa kalau anda semua buat sedikit kajian, boleh lihat bila kali terakhir saya memuat naik gambar bersama ibu saya. Adakah itu menunjukkan saya bergaduh dengan ibu? Tidak juga.

"Cuma saya dan isteri merasakan lebih baik untuk tidak berkongsi gambar. Lagipun, bukanlah tiada langsung gambar kami bersama. Kalau lihat di Instagram (IG) saya, masih ada beberapa gambar yang saya kekalkan," katanya ketika ditemui pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Libang Libu, semalam.

Bagaimanapun pada masa sama, Fikry tidak menyembunyikan kenyataan mereka menyambut Aidilfitri secara berasingan atas faktor tertentu.

"Dia beraya di Sarawak sebab tahun ini giliran dia beraya di sana. Cuma saya perlu menjaga ibu saya, tambahan pula bapa saudara saya juga kurang sihat akibat strok.

"Jadi saya mengizinkan dia pulang ke Sarawak untuk beraya bersama keluarga. Tetapi selepas itu kami tetap berjumpa. Malah sebelum raya pun kami sempat meluangkan masa bersama, untuk membeli baju raya sekali," katanya menjelaskan perkara sebenar.

Tidak seperti segelintir selebriti lain Fikry berkata, dia tidak akan berkongsi hal peribadi dan akan terus mengekalkan prinsip sedia ada dalam menjaga privasi keluarga.

"Saya rasa cukuplah sampai di sini saja. Sebelum saya berkahwin pun, saya tidak ada istilah isu-isu seperti ini. Jadi saya akan kekalkan perkara dan prinsip yang sama kerana ke depan nanti saya tidak suka perkara seperti ini diuar-uarkan.

"Kalau tengok di media sosial saya pun, saya hanya berkongsi mengenai ibu saja. Adik-beradik lain atau arwah bapa saya pun jarang saya kongsikan kerana saya lebih memilih untuk menjaga privasi.

"Walaupun kita cuba mengekalkan privasi dengan cara ini, tapi masih ada ahli keluarga saya yang kurang selesa sebab orang cari atau menjadi perhatian," katanya.

Berkongsi perasaan isterinya apabila berdepan spekulasi sedemikian, Fikry berkata isterinya pada awalnya mungkin sedikit terkejut, selain menegaskan komunikasi antara mereka berada dalam keadaan baik.

"Bagi saya, awal-awal dulu mungkin dia ada sedikit terkejut. Tetapi lama-kelamaan saya cakap tidak perlu layan perkara seperti ini. Tiada apa-apa pun sebenarnya, cuma biasalah kadang-kadang benda seperti ini berlaku. Saya biarkan saja ia berlalu. Komunikasi saya dengan isteri pun baik saja," katanya.

Pada masa sama, Fikry turut memaklumkan memilih untuk tidak terlalu melayan isu-isu membabitkan peribadi dan keluarganya seperti yang tersebar di media sosial yang dianggap merepek dan tidak masuk akal.

Walaupun berdepan tekanan, pelakon berasal dari Kedah ini bersyukur kerana dikurniakan keluarga serta mentua yang matang dan sentiasa memberi sokongan terhadap dirinya.

"Sebelum apa-apa jadi, saya akan maklumkan terlebih dahulu kepada keluarga supaya mereka tahu awal dan tidak terkejut dengan apa yang berlaku," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fikry tampil melakonkan watak pemuda Bangladesh dalam filem Libang Libu arahan Bobby Husaini yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 23 April ini.

Sumber: Harian Metro



0 Comments

|

6 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content