“Kalau Anak Saya Layak, Mestilah Saya Pilih” - Mimi Lana Pertahan Pemilihan PGL

Pelakon Mimi Lana berpendapat pemilihan Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai watak utama dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bukan isu pilih kasih seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakan dan bakat.

Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, berkata keputusan produksi wajar dihormati memandangkan pementasan tersebut diterajui figura berpengalaman seperti Puan Sri Tiara Jacquelina.

"Pada saya, kalau saya sendiri ada anak dan dia memang berbakat untuk watak PGL, sudah tentu saya akan beri peluang itu.

"Lagipun produksi itu milik Tiara sendiri, tetapi selain faktor itu, saya percaya mereka memang layak dipilih. Tiada apa yang boleh dipertikaikan lagi," katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media tayangan filem Polong, malam tadi.

Menurut isteri kepada aktor Syafiq Kyle itu, Aisha dan Mila sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri kerana sudah biasa beraksi di pentas teater.

"Mereka memang sudah biasa dengan pentas. Pemilihan mereka sangat layak.

"Aisha Retno pula tak perlu dipertikaikan lagi, penguasaan pentasnya memang bagus. Begitu juga Mila.

"Jadi bagi saya, tiada masalah pun dengan pemilihan tersebut," ujarnya.

Tambah Mimi, proses uji bakat bagi watak Puteri Gunung Ledang bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan peserta menguasai lakonan, nyanyian dan tarian secara langsung.

"Proses uji bakat PGL memang sangat mencabar. Saya rasa pemilihan dibuat kepada individu paling layak.

"Mereka sudah biasa dengan pentas, berbeza dengan saya yang lebih banyak berlakon filem," katanya.

Walaupun tidak berjaya memperoleh watak idaman, Mimi mengakui pengalaman menjalani sesi uji bakat tersebut sangat bermakna buat dirinya.

"Saya boleh menyanyi, tetapi tidak pernah menyanyi di depan penonton yang ramai. Jadi untuk pentas teater, memang agak sukar bagi saya.

"Saya tidaklah terlalu kecewa, tetapi bila tak dapat sesuatu yang kita nak, mestilah ada sedikit rasa sedih.

"Cuma saya sangat seronok melalui proses uji bakat itu. Dalam masa singkat, saya kena hafal skrip, menyanyi dan menari. Pengalaman itu sangat berharga," jelasnya.

Tambah Mimi lagi, pengalaman tersebut membuka matanya tentang cabaran sebenar dunia teater dan memberi semangat untuk terus mencuba peluang lain pada masa hadapan.

"Walaupun saya hanya jadi ‘PGL’ sekejap waktu uji bakat, pengalaman itu cukup bermakna.

"Insya-Allah saya akan cuba lagi kalau ada peluang untuk projek seumpamanya," katanya.

Terdahulu, produksi Puteri Gunung Ledang The Musical tampil memberi penjelasan susulan dakwaan segelintir pihak mengenai ketelusan pemilihan pelakon.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam Threads, pihak produksi menegaskan proses pemilihan dilakukan secara profesional tanpa sebarang unsur pilih kasih.

Untuk rekod, teater Puteri Gunung Ledang The Musical dijangka dipentaskan sekitar Oktober depan.



0 Comments

|

8 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content