Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon Shaheizy Sam mendedahkan dia terpaksa menahan kesakitan sepanjang penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir selepas mengalami kecederaan serius pada kedua-dua belah lutut.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abd. Samad, 43, berkata keputusan imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) menunjukkan terdapat koyakan pada bahagian sendi lutut melibatkan kemungkinan ACL atau meniskus.
“Berdasarkan keputusan MRI, bahagian lutut saya mungkin ACL atau meniskus koyak. Di antara sendi memang koyak dan kedua-dua kaki alami kecederaan sama.
“Bila kaki sedikit tertekan, terus datang rasa sakit mencucuk. Itulah keadaan saya sekarang, tapi alhamdulillah Allah permudahkan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut pelakon itu, faktor usia juga memainkan peranan sehingga membuatkan dirinya kini lebih selesa membawa watak yang tidak terlalu berat secara fizikal.
“Kadang-kadang bila fikir nak buat aksi berat, saya lebih rela bawa watak santai, badan berisi dan kurang dialog. Itu lebih selesa,” selorohnya.
Sam berkata, kesakitan tersebut mula dirasai selepas tiga hari menjalani penggambaran filem aksi berkenaan.
“Selepas tiga hari penggambaran Cobra 7: Peluru Terakhir, sakit itu mula datang. Sepanjang penggambaran memang saya dalam keadaan begitu.
“Ada masa saya ambil ubat tahan sakit. Bila tahu ada babak berat, saya akan bersedia lebih awal dengan ubat,” ujarnya.
Suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu turut mengakui dia tidak sempat melakukan persiapan fizikal seperti kebiasaannya sebelum memulakan penggambaran filem aksi.
“Kebiasaannya saya akan buat persediaan awal termasuk pergi gim, tapi kali ini skrip tak perlukan fizikal sangat.
“Saya jadi terlalu selesa dan tak bersenam. Bila badan terkejut, kecederaan mula datang satu demi satu dan bagi saya memang agak teruk,” katanya.
Walaupun berdepan kecederaan, Sam tetap meneruskan tanggungjawabnya sehingga penggambaran hampir selesai.
“Bila dah jadi tanggungjawab, sakit atau tidak kita teruskan sahaja.
“Saya masih bertahan. Bila waktu rehat, saya jaga betul-betul keadaan kaki termasuk guna pek panas dan buat fisioterapi,” katanya lagi.
Tambah Sam, selepas ini dia mungkin akan mengambil cuti panjang selain memilih watak yang lebih ringan dan kurang aksi fizikal.
Filem COBRA 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak dijangka menemui penonton hujung tahun ini.
Selain Shaheizy Sam, filem tersebut turut dibintangi Diana Danielle, Zahiril Adzim, Amar Baharin dan Ahirine Ahidrudin.
Sumber: Kosmo! Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|3 Views
No Comments yet
Be the first to comment.