Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Malaysia mengambil langkah besar untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi penggambaran utama di Asia Tenggara apabila kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk program Film in Malaysia Incentive (FIMI) bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, komitmen itu menunjukkan hasrat Malaysia menarik lebih banyak produksi filem dan televisyen antarabangsa melalui rebat kompetitif, sokongan pengeluaran mantap, dan ekosistem kreatif yang berkembang pesat.
"Program FIMI memberi peluang kepada produksi tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan insentif kewangan, sambil disokong oleh kru tempatan yang berpengalaman, infrastruktur pengeluaran moden dan lokasi penggambaran daripada bandar moden hingga ke landskap semula jadi yang menawan," katanya.
Bagi memperkukuh industri skrin pada 2026, Malaysia menumpukan kepada tiga bidang strategik iaitu meningkatkan kutipan pawagam tempatan, memposisikan negara sebagai hab Asean untuk produksi realiti dan program tidak berlakon, serta memperluaskan peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam animasi.
Tambah Azmir, ekosistem pengeluaran filem kini semakin kukuh dengan gabungan bakat tempatan mahir, insentif menarik dan lokasi pelbagai.
"Melalui platform antarabangsa seperti Filmart, Malaysia dapat memperluaskan jaringan kerjasama global dan mempromosikan kandungan tempatan ke seluruh dunia," ujarnya.
Sementara itu, sesi terbaharu FIMI juga menampilkan beberapa pengeluaran Malaysia yang bakal menarik perhatian penonton, termasuk filem aksi-thriller konspirasi terbitan Elepfilm Entertainment, yang diperkenalkan secara rasmi semasa acara tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Skop Productions, Shamim Yusof yang juga merupakan salah seorang panel berkata pertumbuhan syarikatnya berterusan dengan kejayaan filem blockbuster seperti Polis Evo 3, KL Special Force, Abang Long Fadil 2, dan Sheriff: Narko Integriti.
"Semua filem ini bukan sahaja mencatat kutipan pawagam yang memberangsangkan, malah berjaya menembusi pasaran serantau, membuktikan potensi besar industri filem tempatan," katanya.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|112 Views
No Comments yet
Be the first to comment.