Man Kidal Lepaskan Bantuan Zakat

GITARIS legenda tanah air, Man Kidal mengesahkan beliau tidak lagi tersenarai sebagai penerima bantuan asnaf selepas kembali menerima tawaran persembahan dan berada dalam keadaan kewangan yang lebih stabil.


Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 62, berkata keputusan itu dibuat kerana merasakan bantuan berkenaan lebih wajar disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


"Sekarang saya tidak lagi menerima bantuan kerana bagi saya bantuan itu ada hadnya. Kalau sudah tidak perlu, rasanya lebih baik diberi kepada mereka yang lebih memerlukan.


"Saya hanya menerima bantuan sekitar tiga hingga empat bulan sahaja. Sebenarnya pun saya tidak meminta, tetapi bila kisah saya mendapat perhatian, barulah saya terima pelawaan itu," katanya.


Menurut Man, sebaik sahaja kembali menerima tawaran persembahan, dia mengambil keputusan untuk menghentikan bantuan tersebut.




"Bila saya mula dapat tawaran persembahan kembali, saya sendiri ambil keputusan untuk berhenti menerima bantuan," katanya.


Man berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Makan Malam Amal Legends: Sweet Charity yang berlangsung di Frasers Tower, Petaling Jaya, petang Rabu.


Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) atas bantuan yang diberikan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada rakan-rakan pemuzik lain yang turut terkesan.


"Saya ada ditemu bual dengan wakil Zakat Selangor. Kalau kita nak sambung bantuan pun sebenarnya boleh. Cuma saya tak galakkan kalau kita tidak perlu.


"Saya nak ucap terima kasih kepada Zakat Selangor kerana bukan saya seorang sahaja, kawan-kawan lain pun ramai yang dapat bantuan. Jika ada yang memerlukan, saya sarankan supaya mohon," katanya.


Tambah Man, beliau tidak melihat permohonan bantuan sebagai sesuatu yang memalukan selagi seseorang itu benar-benar berada dalam kesusahan.


"Dalam agama pun ada mengajar, kalau perlu kita disarankan untuk minta bantuan. Jadi bagi saya, tak perlu malu jika kita memang susah.


"Tapi minta bantuan itu biarlah hanya bila kita betul-betul memerlukan. Saluran zakat sudah ada dan memang diwajibkan untuk membantu. Yang lebih memalukan adalah bila kita tidak perlu, tetapi tetap mengambil bantuan," katanya.




Untuk rekod, Man sebelum ini menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor pada 2021 selepas kehilangan punca pendapatan susulan penularan pandemik COVID-19.


Keadaan ketika itu bertambah sukar apabila beliau turut disahkan positif COVID-19, sekali gus menyebabkan dirinya dikategorikan sebagai 'asnaf sementara'.


Sumber: mStar



0 Comments

|

164 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content