Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon Mawar Rashid menamatkan teka-teki mengenai kemunculan seorang jejaka misteri bersamanya pada Aidilfitri lalu apabila menjelaskan ia sekadar gimik promosi untuk muzik video raya.
Menurut Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, masih ada yang menyangka dia sedang menjalin hubungan cinta kerana tidak mengikuti perkembangan selepas hantaran tersebut.
"Ramai masih ingat hantaran itu sampai sekarang sebab mungkin mereka tidak mengikuti perkembangan selepas itu.
"Sebenarnya hantaran tersebut hanya untuk tujuan pemasaran muzik video raya, lagu raya sahaja.
"Tiada apa-apa lebih daripada itu," katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon filem Jangan Pandang Belakang 2 itu berkata, kehidupannya kini lebih tertumpu kepada kerjaya seni, perniagaan dan membesarkan tiga orang anak.
"Sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama. Selain itu, saya fokus pada anak-anak, perniagaan dan diri sendiri.
"Memang tiada masa untuk fikir perkara lain," katanya ketika ditemui pada malam gala filem Nar’sata: Sekutu Setan.
Mawar turut mengakui hampir tiga tahun hidup sendiri menjadikan keutamaannya kini berubah sepenuhnya kepada keluarga kecil.
"Sudah hampir tiga tahun saya sendiri. Buat masa ini memang tiada masalah, cuma tiada masa untuk berjumpa sesiapa sebab anak-anak masih kecil.
"Keutamaan saya memang anak-anak. Fokus saya hanya pada mereka, cari rezeki dan urus perniagaan," ujarnya.
Meskipun begitu, Mawar tidak menolak soal jodoh, sebaliknya menyerahkan segala ketentuan kepada Allah.
"Soal jodoh atau buka hati, saya serahkan kepada Allah," katanya.
Terdahulu, Mawar Rashid mencetuskan tanda tanya apabila berkongsi gambar bersama seorang lelaki misteri menjelang Aidilfitri lengkap dengan busana sedondon, namun identitinya disembunyikan dengan emoji.
Untuk rekod, Mawar pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Raden Muhammad Rafael pada November 2017 sebelum sah bercerai pada November 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sumber: Kosmo! Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|6 Views
No Comments yet
Be the first to comment.