Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah menafikan dakwaan kononnya beliau mahu bersara daripada dunia nyanyian seperti yang tular menerusi sebuah video di media sosial baru-baru ini.
Menurut Jamal, kenyataan tersebut hanyalah gurauan spontan ketika membuat persembahan di sebuah acara hiburan selepas menunggu terlalu lama untuk naik ke pentas.
"Sebenarnya pengumuman bersara itu hanya gurauan ketika saya menunggu terlalu lama untuk giliran membuat persembahan.
"Ketika itu saya bergurau dengan penonton, memandangkan umur saya bakal mencecah 67 tahun, mungkin sudah tiba masa untuk bersara. Saya cuma mahu lihat reaksi mereka," katanya kepada Kosmo! Online.
Penyanyi lagu Penghujung Rindu itu bagaimanapun menegaskan istilah persaraan tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang penghibur.
“Bagi saya, seorang penyanyi atau penghibur memang tiada istilah bersara.
"Saya cuma mahu 'test market', sama ada peminat masih mahu melihat saya membuat persembahan atau sebaliknya," katanya lagi.
Dalam masa sama, Jamal mengakui lega apabila kini ramai pelapis yang mampu meneruskan legasi seni keluarganya termasuk anak-anak lelaki dan anak saudara.
"Tapi pengganti saya pun sudah ramai, termasuk anak-anak dan saudara-mara.
"Kalau peminat masih merasakan saya diperlukan dalam industri ini, saya akan terus menyanyi.
"Untuk saya, memang tidak akan ada persaraan. Saya mohon maaf jika kenyataan itu mengejutkan ramai pihak, kerana ia sekadar gurauan," ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Jamal membuat persembahan di sebuah acara hiburan dengan kapsyen mendakwa penyanyi legenda itu bakal bersara daripada dunia nyanyian.
Sumber: Kosmo! Online
0 Comments
|23 Views
No Comments yet
Be the first to comment.