Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon dan pelawak Saiful Apek, 57, meluahkan rasa terharu apabila perkongsian nasihatnya di aplikasi Threads mendapat reaksi positif, khususnya daripada golongan muda yang sedang bergelut dengan tekanan hidup.
Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff berkata, perkongsian tersebut pada awalnya dibuat tanpa mengharapkan sebarang penghargaan, sebaliknya sebagai tanggungjawab sosial yang selari dengan jiwanya sebagai seorang penghibur.
"Saya bukan mengejar penghargaan, namun saya rasa tugas menggembirakan orang sangat dekat dengan jiwa saya.
"Cuma kali ini, pendekatannya bukan lagi menerusi komedi, sebaliknya lebih kepada kematangan usia," katanya.
Menurutnya, dia turut terkejut apabila ramai menerima perkongsiannya dengan hati terbuka walaupun pada awalnya bimbang sama ada suara seorang pelawak akan didengari atau tidak.
"Pada awalnya saya juga ragu-ragu sama ada suara seorang pelawak seperti saya akan didengari atau tidak.
"Namun saya terkejut apabila ramai yang menerimanya dengan hati terbuka dan positif," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Nasyid Friday di Ruang, Shah Alam, semalam.
Tambah pelakon filem Duyung itu, dia turut menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada pengikut yang berkongsi masalah berat termasuk ada yang berdepan tekanan hidup serius.
"Ada yang meluahkan rasa penat dan putus asa. Saya katakan kepada mereka, jika rasa penat, sebenarnya itu bukan jiwa yang penat, tetapi mungkin fizikal atau jantung yang kepenatan,” katanya.
"Kadangkala saya risau juga sekiranya kata-kata saya terlalu berat untuk mereka, namun realitinya masalah yang mereka hadapi memang mengejutkan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, segala perkongsian yang dibuat datang daripada pengalaman hidup sendiri yang pernah melalui fasa sukar termasuk bergelar gelandangan.
"Saiful Apek tidak dibina dalam masa sehari. Apa yang mereka lalui sekarang adalah diri saya suatu ketika dahulu. Saya pernah dihina, difitnah, malah sampai ke tahap makan sisa buangan orang untuk bertahan hidup,” katanya.
"Saya mahu hantaran itu menjadi 'tamparan' agar mereka sedar dan mula mengambil langkah kecil untuk bangkit semula," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Apek bakal terlibat dalam projek Nasyid Friday anjuran pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan yang dijadualkan berlangsung dari Jun 2026 hingga Januari 2027, membabitkan beberapa kumpulan nasyid dan artis tanah air.
Sumber: Utusan
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|4 Views
No Comments yet
Be the first to comment.