Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon veteran, Datuk Razak Ahmad meluahkan rasa kecewa apabila menerima mesej peribadi (DM) berbaur gangguan seksual yang disifatkan melampaui batas.
Razak, 59, ketika dihubungi berkata, dia juga terkejut kerana mesej seumpama itu diterima daripada kaum lelaki.
"Gangguan itu agak pelik kerana ia bukan datang daripada wanita, malah individu terbabit juga menghantar pelbagai hantaran yang tidak masuk akal.
"Apabila Datin (Rohaya Mohd Nor) melihat perkara itu, dia turut tertanya-tanya," katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia juga hairan bagaimana ada pihak yang menganggap dirinya adalah lelaki yang tergolong dalam pencinta kaum sejenis.
"Saya sendiri berasa hairan sekiranya ada pihak yang menganggap saya tergolong dalam golongan itu.
"Kiriman mesej itu dihantar berulang kali dan seolah-olah tidak berkesudahan. Semuanya dilakukan atas nama 'sahabat' di media sosial, kononnya kerana pernah bertegur sapa," katanya.
Katanya, dia mula menerima mesej 'pelik' itu sejak dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Oktober tahun lalu.
Terdahulu, Rohaya memohon dia dan suaminya dihormati selepas mendedahkan ada pihak cuba bertindak melampaui batas dengan menghantar mesej peribadi kepada suaminya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook milik Razak, Rohaya memberi amaran terbuka kepada individu terbabit agar menghentikan perbuatan menghantar mesej yang tidak sepatutnya.
Malah, dia memaklumkan bahawa akaun media sosial pelakon itu sebenarnya turut dipantau dan diuruskan olehnya.
"Untuk makluman, akaun ini juga saya yang uruskan. Saya ingin menasihatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak menghantar DM atau mesej yang bukan-bukan dan melampaui batas," tulisnya.
Katanya, teguran itu dibuat bukan untuk memalukan sesiapa, sebaliknya sebagai peringatan agar semua pihak menjaga etika walaupun di alam maya.
"Tujuan saya hanya untuk mengingatkan agar kita sama-sama menjaga adab dan batas dalam berkomunikasi. Perkara yang sama juga terpakai melalui WhatsApp atau mana-mana saluran peribadi.
"Berkomunikasilah dengan cara yang sopan. Terima kasih atas kerjasama dan sikap saling menghormati," tulisnya.
Bagaimanapun, isteri pelakon itu memilih untuk tidak mendedahkan identiti atau nama pihak yang dimaksudkan dalam hantaran itu.
Tindakan berani itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya memuji sikap tegas Rohaya dalam 'memagar' rumah tangga mereka daripada gangguan pihak luar.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|180 Views
No Comments yet
Be the first to comment.