Pelakon Nazia Mustafar mengakui dirinya masih belum berhijab sepenuhnya meskipun sering tampil dengan imej menutup kepala sejak kebelakangan ini.
Menurut Nazia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 44, dia kini berada dalam fasa perlahan-lahan membiasakan diri menutup aurat dan lebih selesa mengenakan topi atau hoodie ketika berada di luar rumah.
"Belum lagi bertudung sepenuhnya. Bila usia makin meningkat memang ada terdetik ke arah itu, tapi saya nak lakukan atas kehendak sendiri, bukan sebab dipaksa sesiapa.
"Memang wajib, saya tahu. Jadi sekarang saya cuba-cuba ke arah itu. Kadang-kadang keluar pakai topi atau hoodie sebab menutup aurat tak semestinya hanya dengan tudung,” katanya.
Pelakon filem Sue-On itu turut berkongsi perubahan tersebut bermula kerana dirinya semakin malas menguruskan rambut selepas sibuk berniaga dan memasak setiap hari.
"Saya banyak memasak di kedai sampai rasa malas nak dandankan rambut macam dulu. Bila nak keluar, rasa lebih senang tutup kepala saja. Lama-lama jadi selesa pula," ujarnya.
Dalam masa sama, Nazia mendedahkan suaminya sering memberi galakan untuk berhijab dan sentiasa mendoakan agar dirinya istiqamah suatu hari nanti.
"Suami memang selalu cakap pasal tudung. Saya pun minta dia doakan saya. Umur pun dah nak dekat 50 tahun, mungkin nanti sampai masanya.
"Saya tak nak terlalu mengisytiharkan apa-apa, cuma berharap ada perubahan yang baik," katanya lagi.
Sebelum ini, penampilan terbaharu Nazia mula menjadi perhatian apabila dia kerap dilihat mengenakan hijab dalam beberapa perkongsian media sosial termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
0 Comments
|14 Views
No Comments yet
Be the first to comment.