Penyanyi kumpulan Barbarik, Muss mengakui sedang melalui antara detik paling mencabar dalam hidup apabila isterinya, Suraya Bahari, kini berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan memotong kaki kiri akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Menurut Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 58, meskipun berdepan tekanan emosi yang besar, dia cuba menerima segala ketentuan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Tuhan.
"Kalau Tuhan kata sampai waktunya untuk mengambil nyawa sekalipun, saya kena reda.
"Memang sangat memberi tekanan, tetapi Alhamdulillah saya masih mampu menerima keadaan ini.
"Selebihnya saya reda. Pada awal memang banyak persoalan, banyak perkara yang bermain di fikiran sehingga akhirnya sampai satu tahap, saya serahkan semuanya kepada Tuhan.
"Sebab kalau kita tidak boleh menerima kenyataan, keadaan itu mungkin akan jadi lebih berat," katanya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert *Black On White, Cromok-Barbarik*, baru-baru ini.
Dalam masa sama, bekas vokalis kumpulan Wings dan May itu berkata ujian yang dilalui turut memaksanya bersedia untuk menerima perubahan besar dalam kehidupan mereka sekeluarga.
"Bagi saya, hanya ada dua pilihan. Sama ada menerima kemungkinan kehilangan dia atau menerima perubahan baharu dalam kehidupan.
"Tidak ada lagi kehidupan seperti yang kita rancang sebelum ini. Apa yang saya rancang bersama dia sebelum ini mungkin tidak dapat dilakukan lagi dan saya perlu membuat perubahan," katanya.
Walaupun perlu membahagikan perhatian antara keluarga dan persiapan konsert yang bakal berlangsung Sabtu ini, Muss berkata dia berusaha untuk terus kuat demi mengharungi situasi tersebut.
"Saya perlu kuat dan tenang untuk mengendalikan situasi dalam kehidupan saya. Pada masa sama, saya perlu membahagikan tenaga dan fokus untuk Barbarik.
"Namun, cabaran kali ini memang sangat sukar. Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan sehingga ke tahap ini walaupun keadaan isteri saya ketika ini boleh dikatakan sudah berada pada tahap sangat kritikal," ujarnya.
Bercerita lanjut, Muss menjelaskan masalah kesihatan isterinya berpunca daripada komplikasi penyakit kencing manis yang semakin serius sejak beberapa bulan lalu sebelum menjadi lebih teruk akibat jangkitan kuman.
"Punca utama adalah disebabkan kencing manis, itu sahaja. Tetapi apabila kita tersilap cara dalam usaha untuk memulihkan atau merawat masalah kencing manis, keadaan boleh menjadi lebih rumit.
"Saya juga sudah cuba pelbagai cara. Banyak pendapat dan pandangan yang diberikan kepada saya tentang bagaimana hendak menguruskan perkara itu.
"Tetapi apabila terlalu banyak pilihan dan berlaku kesilapan, saya sendiri tidak pasti sama ada kesilapan itu datang daripada saya atau daripada kaedah rawatan yang dicadangkan.
"Sebenarnya masalah kaki dia sudah berlaku mungkin sekitar empat hingga lima bulan. Pada awal, masalah itu berkaitan saraf sempit dan menyebabkan kesakitan," kongsinya.
Sebelum ini, Suraya atau lebih mesra disapa Sue dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan pada kaki kiri di Hospital Ampang pada 13 Jun lalu susulan komplikasi penyakit kencing manis.
0 Comments
|12 Views
No Comments yet
Be the first to comment.