Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Isteri kepada pelakon veteran, Shamsul Ghau Ghau, iaitu Sharifah Azrinah Syed Ibrahim memaklumkan keadaan suaminya menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan memberangsangkan selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, Sabtu lalu.
Menurut Sharifah Azrinah, hampir semua wayar serta peralatan perubatan yang sebelum ini dipasang pada tubuh Shamsul telah ditanggalkan, selain suaminya kini sudah mula menggerakkan anggota badan secara berperingkat.
"Alhamdulillah, perkembangan Abang Shamsul sangat positif dan memberangsangkan. Saya rasa sangat lega. Doktor juga memaklumkan keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat Ahad lalu menunjukkan keputusan yang baik.
"Wayar-wayar di badannya sudah dicabut dan hari ini dia sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan," katanya kepada BH Online.
Sharifah Azrinah berkata, pihak doktor kini sedang mencuba untuk memberikan makanan melalui mulut selepas Shamsul sebelum ini diberi susu menerusi tiub.
"Semalam (Ahad) doktor cuba beri dia minum susu melalui tiub dan diteruskan pada jam 6 pagi serta 9 pagi. Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang tindak balas negatif seperti muntah. Hari ini doktor akan cuba memberinya makan bubur melalui mulut," katanya.
Mengulas perkembangan kognitif suaminya, Sharifah Azrinah berkata Shamsul kini mampu menjawab soalan dengan baik walaupun kadangkala memerlukan sedikit masa untuk memahami soalan.
"Dia sudah boleh bercakap dengan jelas, cuma responnya kadang-kadang sedikit perlahan dan ada kalanya nampak keliru.
"Apabila doktor bertanya mengenai dirinya dan orang sekeliling, alhamdulillah dia dapat menjawab semua soalan dengan betul. Saya sangat bersyukur melihat perkembangan," katanya.
Tambahnya, Shamsul juga sudah mampu duduk di atas atau di tepi katil, namun masih belum cukup kuat untuk berjalan tanpa bantuan.
Sharifah Azrinah berkata, tempoh rawatan Shamsul di hospital masih bergantung kepada perkembangan semasa.
"Doktor maklumkan buat masa ini, kemungkinan Abang Shamsul perlu dirawat di hospital sekitar tiga hingga empat hari lagi, bergantung kepada perkembangan hariannya," ujarnya.
Menurutnya, rawatan fisioterapi perlu diteruskan sama ada di hospital atau di rumah, bergantung kepada keputusan doktor.
"Doktor beri pilihan sama ada dia balik dan jalani fisioterapi di rumah atau terus ditahan di hospital sekitar seminggu untuk mengikuti program yang telah disusun supaya keadaannya lebih stabil sebelum dibenarkan pulang," katanya.
Ditanya sama ada bekas pengacara Muzik-Muzik itu ada meluahkan perasaan kepadanya, Sharifah Azrinah berkata suaminya lebih banyak berdiam diri dan memikirkan komitmen penggambaran yang sedang dijalani.
"Dia risau tentang penggambaran. Saya beritahu semuanya sudah diuruskan dan pihak produksi memahami keadaannya.
"Apabila saya yakinkan dia, dia hanya diam, termenung dan air matanya mengalir. Dia angguk faham. Saya minta dia kekal kuat dan positif supaya cepat sembuh," katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Azrinah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan dan memberi sokongan kepada keluarganya.
"Peminat, rakan artis, kawan-kawan dekat dan jauh, termasuk yang kami tidak kenal, semuanya memberi sokongan dan doa. Itu semua sangat membantu kami sekeluarga. Hanya Allah mampu membalas segala kebaikan mereka," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelakon, Sheila Mambo yang banyak membantu sejak awal kejadian berlaku.
Sementara itu, Sheila menjelaskan usaha menggerakkan kutipan sumbangan dilakukan secara bersama dengan rakan artis lain dan atas izin Allah.
"Ini bukan usaha saya seorang. Ramai rakan artis seperti Ebby Yus, Ellie Suriaty dan yang lain turut membantu. Ada yang sebarkan maklumat, ada yang hubungi pihak berkaitan termasuk zakat.
"Apabila dilakukan dengan cara yang betul, semuanya bergerak dengan cepat. Ini urusan Allah, kita hanya perantara," katanya.
Sheila turut menyifatkan Shamsul sebagai seorang yang baik hati dan disenangi ramai.
"Pak Su (panggilan untuk Shamsul) orang baik. Bila kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita. Ini bukti kuasa Allah dan kebaikan," katanya.
Sebelum ini, Shamsul Ghau Ghau dilaporkan mengalami pendarahan beku dalam otak dan selamat menjalani pembedahan di HSAAS, Serdang.
Difahamkan kos pembedahan berjumlah sekitar RM25,000 diperlukan sebagai deposit dan pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan.
Sumber: BH Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|98 Views
No Comments yet
Be the first to comment.