Pelakon Syafiq Kyle mengakui sengaja keluar daripada zon selesa apabila menerima watak lebih sederhana dalam filem terbaharunya, HAK: Tuntut atau Tunduk.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 34, dia tertarik untuk menjayakan watak Hakim kerana karakter tersebut jauh berbeza daripada imej hero aksi yang sering dibawakan sebelum ini.
"Sebelum ini saya banyak bawa watak inspektor, komando, pengawal peribadi dan karakter yang ada aksi atau kemahiran tertentu.
"Tapi kali ini saya cuma jadi lelaki biasa. Itu yang buat saya tertarik nak jayakan watak ini," katanya ketika sidang media filem HAK: Tuntut atau Tunduk kelmarin.
Menurut pelakon Polis Evo 3 itu, watak Hakim menuntut permainan emosi lebih mendalam kerana membawa kisah kehidupan seorang lelaki biasa yang bergelut dengan tekanan hidup serta masalah kewangan.
"Watak ini nampak normal, tapi perjalanan hidup dia luar biasa. Cabarannya adalah macam mana saya nak hidupkan karakter itu supaya penonton boleh rasa dekat dengannya," ujarnya.
Tambah Syafiq, dia turut menjalani latihan intensif selama tiga minggu bagi memahami sepenuhnya latar belakang serta cara pemikiran watak tersebut sebelum penggambaran bermula.
"Proses latihan itu penting untuk saya faham siapa Hakim dan bagaimana dia berfikir dalam setiap situasi yang dilalui," katanya.
Dalam masa sama, Syafiq berkata filem tersebut turut mengetengahkan isu sosial yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
"Cerita ini sangat dekat dengan kehidupan sebenar sebab apa yang berlaku dalam filem ini memang wujud dalam masyarakat sekeliling kita," katanya lagi.
Malah, pengalaman membesar di kawasan flat turut membantu dirinya memahami kehidupan dan emosi watak Hakim dengan lebih mendalam.
0 Comments
|4 Views
No Comments yet
Be the first to comment.