Tiada Sijil Nikah, Mahkamah Tangguh Keputusan Status Cerai Rujuk

Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam, enggan mengulas lanjut berhubung prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk terhadap isteri keduanya, Marissa Dania Hakim yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.


Aslam yang hadir bersama Marissa bagaimanapun berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan rumah tangga mereka.


"Maaf, saya tiada apa-apa untuk dikomen. Saya minta semua doakan yang baik-baik sahaja. Insya-Allah," katanya ringkas ketika ditemui Utusan Malaysia di mahkamah berkenaan hari ini.


Sementara itu, peguam mewakilinya, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, mahkamah belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pengesahan status perkahwinan pasangan terbabit.


Menurut beliau, perkara itu disebabkan terdapat pelbagai isu melibatkan hukum syarak dan perundangan yang perlu diperhalusi.


"Mahkamah belum dapat membuat keputusan kerana terdapat banyak isu yang perlu diteliti.


"Beberapa perkara memerlukan penelitian lanjut termasuk pandangan daripada kitab-kitab fuqaha serta rujukan fiqh yang muktabar.


"Sehubungan itu, mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi menyambung prosiding untuk pihak defendan," katanya.


Dalam perkembangan sama, Ammar memaklumkan defendan, Marissa tidak diwakili peguam, sebaliknya hanya mendapatkan khidmat nasihat daripadanya selaku peguam pihak plaintif.


Bagaimanapun, tarikh prosiding seterusnya tidak didedahkan kepada umum atas permintaan kedua-dua pihak.


Mengulas lanjut, beliau berkata, pasangan berkenaan masih tinggal sebumbung sepanjang tempoh prosiding mahkamah berlangsung.


"Berdasarkan keterangan yang diberikan, mereka hadir bersama dan masih tinggal bersama. Namun, jika ada perkara sebaliknya, saya tidak pasti," ujarnya


Ketiadaan sijil nikah rasmi membabitkan pasangan Ahmad Aslam dan Marissa menyebabkan proses perundangan yang sedang dihadapi menjadi sedikit rumit.


Ammar berkata, perkara itu berpunca daripada perkahwinan pasangan tersebut yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, sekali gus menyebabkan proses pendaftaran di negara ini masih belum selesai.


Menurut beliau, situasi berkenaan merupakan antara cabaran utama bagi pasangan yang memilih untuk bernikah di luar negara.


"Apabila bernikah di Thailand, inilah cabaran yang perlu dihadapi. Untuk memfailkan sebarang kes selepas pengesahan nikah, kita perlu mempunyai sijil pernikahan asli.


"Dalam kes ini, kita memfailkan pengesahan lafaz tanpa sijil nikah asli. Oleh itu, kita memohon salinan sah daftar daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membolehkan kes difailkan segera untuk menentukan status sebenar mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.


Dalam pada itu, Ammar turut menasihatkan golongan lelaki supaya lebih berani dan telus dalam menguruskan hal perkahwinan, khususnya yang melibatkan poligami, bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.


"Nasihat saya, jika mahu berkahwin, lakukan dengan cara yang betul. Lelaki perlu bersikap gentleman dengan hadir ke mahkamah dan mematuhi prosedur ditetapkan.


"Mahkamah tidaklah sukar sekiranya kita mempunyai bukti serta keterangan yang mencukupi.


"Masalah akan timbul apabila perkahwinan cuba disembunyikan daripada isteri pertama dan tidak mengikut undang-undang. Keadaan itu akhirnya menyukarkan proses serta memanjangkan tempoh perundangan," ujarnya.


Terdahulu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah bagi menghadiri prosiding lafaz cerai dan rujuk.


Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada tahun 2024 dan 2025, sebelum melakukan lafaz rujuk pada tahun yang sama.


Pada 27 Mei, Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan status nikah Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid di Songkhla.


Sumber: Utusan



0 Comments

|

40 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content