Waris Sudirman Terima Royalti Lebih RM367,000, Filem Biografi Dalam Perancangan

Syarikat rakaman EMI Music Malaysia di bawah naungan Universal Music Malaysia menyerahkan royalti berjumlah RM367,305 kepada ahli keluarga Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memelihara legasi seni penyanyi legenda itu.

Penyerahan tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan hak dan hasil karya Sudirman terus dinikmati oleh warisnya selain memperkenalkan semula muzik beliau kepada generasi baharu.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, tanggungjawab tersebut bukan sekadar memenuhi perjanjian sedia ada, malah sebagai penghormatan terhadap jasa besar Allahyarham dalam industri muzik negara.

"Allahyarham Sudirman merupakan ikon seni yang telah membentuk landskap muzik Malaysia dan meninggalkan khazanah budaya yang amat bernilai.

"Sebagai pemegang katalog karya beliau, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan hak royalti terus disalurkan kepada keluarga di samping memelihara serta memperkenalkan semula muzik beliau kepada generasi baharu.

"Kami mahu karya-karya Sudirman terus didengari, dihargai dan kekal relevan merentasi zaman. Legasi beliau bukan sekadar milik industri muzik, tetapi juga sebahagian daripada warisan budaya negara," katanya.

Bagi memastikan karya Sudirman terus relevan, EMI Music Malaysia merancang pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan, pemulihan audio ke format terkini serta pelesenan kreatif dalam filem, drama dan kandungan digital.

Sementara itu, wakil keluarga yang juga anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau Atai, meluahkan rasa syukur atas usaha berterusan pihak label menguruskan karya-karya Sudirman dengan baik.

"Kami amat menghargai usaha EMI yang terus menguruskan karya-karya Allahyarham dengan baik dan memastikan hak royalti disalurkan kepada keluarga. Ini membuktikan bahawa legasi beliau masih terus dihargai dan mendapat tempat di hati masyarakat.

"Walaupun sudah sekian lama beliau meninggalkan kita, kasih sayang masyarakat terhadap Allahyarham masih begitu kuat.

"Karya-karya beliau bukan sahaja membawa nostalgia kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagunya, malah membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali sejarah, budaya dan identiti Malaysia dengan lebih mendalam," katanya.

Dalam majlis sama, program pencarian bakat Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0 turut dilancarkan membabitkan lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memberi peluang kepada golongan muda menggubah semula lagu-lagu Sudirman dengan nafas baharu.

Lebih menarik, pihak keluarga turut berkongsi perkembangan terkini mengenai perancangan menghasilkan sebuah filem biografi yang mengangkat kisah kehidupan dan perjalanan seni Allahyarham.

Difahamkan, projek filem berskala besar itu kini berada di peringkat pembangunan awal, khususnya dalam proses penulisan skrip, dengan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).



0 Comments

|

21 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content