Zarul Umbrella Nafi Bermasam Muka Dengan CK Faizal

Penyanyi Zarul Umbrella menafikan dakwaan kononnya beliau kini bermasam muka dengan CK Faizal susulan keputusan pengacara itu mengundurkan diri daripada podcast Borak Dalam Galley (BDG).

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, keputusan dibuat CK mungkin kerana mahu memberi tumpuan terhadap perkara lain selepas sekian lama komited bersama podcast berkenaan.

"Sebenarnya sebelum itu kami ada penggambaran raya bersama. Selepas itu tiba-tiba dia beri notis 24 jam untuk mengundurkan diri, jadi saya pun agak terkejut.

"Tetapi bila fikir semula, mungkin dia rasa sudah terlalu lama memberi fokus kepada podcast sahaja dan mahu cuba perkara lain," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Seribu Rahmat Umbrella.

Bagaimanapun, Zarul mengakui beliau sendiri tidak mengetahui punca sebenar pengunduran CK dan memilih untuk menghormati keputusan sahabatnya itu.

"Sebab sebenar hanya CK yang boleh jawab. Saya hormat keputusan dia dan teruskan sahaja apa yang ada sekarang," ujarnya.

Dalam masa sama, Zarul menegaskan hubungan mereka masih baik dan tiada sebarang perselisihan faham seperti yang diperkatakan segelintir pihak.

"Saya tiada masalah dengan dia. Dua hari lalu kami ada berjumpa dan masih bergurau serta ketawa seperti biasa.

"Kami tidak bergaduh dan tiada isu apa-apa," katanya.

Tambah Zarul, beliau tetap menghargai jasa CK yang banyak membantu memperkenalkan BDG kepada khalayak sejak awal penubuhannya.

"Sampai hari ini saya masih sayangkan dia kerana BDG juga mula dikenali disebabkan dirinya.

"Saya tidak boleh lupa perkara itu sebab dia antara individu yang banyak membantu memperkenalkan BDG kepada orang ramai," katanya lagi.

Terdahulu, CK Faizal atau nama sebenarnya Che Kamarul Faizal Che Kamaruddin mengumumkan pengundurannya daripada BDG selepas tiga tahun mengendalikan podcast tersebut menerusi satu hantaran di Instagram pada 21 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Zarul Umbrella bakal mengadakan konsert bersama kumpulan Umbrella pada 6 Jun 2026 di Universiti Utara Malaysia.



0 Comments

|

23 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content