Pelakon Amir Ahnaf, 26, tetap menerima watak pembantu atau sampingan selagi naratif karya tersebut mampu mencabar kemampuannya sebagai seorang pelakon.
Amir atau nama lengkapnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin berkata, dia tidak berasakan tawaran sebagai watak pembantu mampu menjejaskan kerjaya seninya.
"Saya tak pernah fikir terima watak pembantu sebagai ‘downgrade’ kerjaya lakonan.
"Realitinya, pelakon pembantu dalam filem atau drama mampu memberi impak berbeza terhadap jalan cerita.
"Saya juga sentiasa yakin bahawa kualiti diberikan untuk sesebuah naskhah itu sendiri yang menentukan tahap hasil kerja, selain perlu menjaga disiplin diri," katanya kepada HibGlam.
Pelakon yang mula popular menerusi drama Project: High Council itu bagaimanapun tidak berkira jika diberikan apa sahaja watak waima muncul sebagai bintang undangan.
Anak kelahiran Terengganu itu juga menyifatkan menjayakan watak pembantu bukan sesuatu yang memalukan dirinya.
"Saya tak pernah rasa 'downgrade' diri sepanjang jadi anak seni, tambahan pula baru berusia 26 tahun dan nak berada dalam industri ini pun lama lagi.
"Kalau dalam tempoh lima tahun ini saya tamak dan terima semua watak hero, macam mana nak kembangkan lagi 'range' lakonan untuk tahun seterusnya?
"Jadi, kau kena cuba bertatih dari satu tangga ke tangga, berlari dan seterusnya, ikut langkah satu demi satu,” kata pemilik trofi Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia ke-34.
Tidak mahu terlalu mengejar nama, Amir berkata usianya sebagai seorang pelakon masih baharu dan banyak lagi karakter yang mahu diterokainya.
"Saya baru empat tahun dalam industri, untuk meletakkan nama sebagai pelakon yang selalu pegang watak utama, saya tak rasa layak lagi.
"Jadi, saya lebih selesa letakkan diri ke arah eksplorasi.
"Macam budak-budak masuk taman permainan, dia nak cuba semua benda, itulah arah karier seni saya ketika ini," ujarnya yang mempunyai impian menjadi seorang pengarah satu hari nanti.
0 Comments
|14 Views
No Comments yet
Be the first to comment.