Pelakon dan pengacara Izzue Islam menerima kejutan istimewa daripada isterinya, Awin Nurin apabila dihadiahkan sebuah kereta mewah bersempena ulang tahun kelahirannya yang diraikan pada Isnin.
Momen tersebut dikongsikan Izzue menerusi Instagram Story (IGs) yang memaparkan sambutan sederhana bersama ahli keluarga serta kenalan rapat di sebuah kafe.
Lebih bermakna, majlis berkenaan bukan sahaja meraikan hari lahir Izzue, malah turut bersempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-13 bersama Awin.
Suasana bertambah meriah apabila sebuah lori tiba di lokasi sambil membawa kereta idaman Izzue iaitu Nissan GT-R R35 yang dipercayai merupakan hadiah khas daripada isterinya.
Turut tertera pada lori tersebut ucapan khas buat pelakon berusia 35 tahun itu.
"Selamat ulang tahun kelahiran, Izzue Islam. Tahniah, kereta baharu anda telah sampai," tertera pada paparan berkenaan.
Menerusi video yang dikongsikan, Izzue dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut dan terharu sebaik melihat hadiah yang disediakan buat dirinya.
Untuk rekod, Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada 2 Jun 2013 dalam sebuah majlis yang berlangsung di Kelantan.
Sebelum bergelar suami isteri, Awin terlebih dahulu berperanan sebagai pengurus peribadi Izzue dan terus menjadi tulang belakang kepada perjalanan kerjaya seni pelakon tersebut sehingga kini.
0 Comments
|8 Views
No Comments yet
Be the first to comment.