Bella Astillah Mohon Doa Buat Syed Saddiq Hadapi Keputusan Rayuan 30 Jun
- #hiburan
- #tempatan
- #selebriti
- #bellaastillah
- #syedsaddiq
- #politik
- #parlimen
- #keputusanmahkamah
- #doahajat
- #wakilrakyat
Penyanyi dan pelakon Bella Astillah mengajak orang ramai untuk bersama-sama menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat yang dianjurkan khas bagi mendoakan urusan tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dipermudahkan menjelang keputusan rayuan kesnya hujung bulan ini.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, majlis berkenaan akan berlangsung di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya pada malam 25 Jun sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap Ahli Parlimen Muar itu.
“Saya berbesar hati untuk menjemput semua yang mengenali kami sama-sama menghadiri majlis solat hajat dan juga doa selamat yang bertempat di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra pada 25 Jun ini.
“Kepada yang bukan Muslim pun boleh datang juga selepas pukul 8.30 malam. Kepada yang lain boleh datang pukul 7 malam dan kita boleh solat Maghrib bersama-sama. Tak sabar nak jumpa semua,” katanya.
Bella memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam masa sama, pelakon tersebut berharap agar Syed Saddiq terus diberikan kekuatan, ketenangan jiwa dan memperoleh keadilan dalam menghadapi proses perundangan yang sedang dilaluinya.
“Semoga Allah mengurniakan ketenangan, kekuatan dan keadilan buat beliau (Syed Saddiq).
“Doa, kehadiran anda semua adalah sebagai tanda kasih dan sokongan,” ujarnya.
Untuk rekod, pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta dua sebatan.
Beliau ketika itu berdepan pertuduhan bersubahat menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta, menyeleweng RM120,000 serta dua pertuduhan memindahkan wang dipercayai hasil aktiviti haram berjumlah RM50,000 ke dalam akaun ASB.
Bagaimanapun, pada Jun 2025, Mahkamah Rayuan membebaskan dan melepaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan selepas membenarkan rayuan yang difailkannya.
Susulan itu, pihak pendakwaan membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan yang menetapkan 30 Jun 2026 sebagai tarikh keputusan muktamad bagi rayuan berkenaan.
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|8 Views
No Comments yet
Be the first to comment.