Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon Beto Kusyairy menyifatkan sambutan terhadap drama bersiri Good Boys Go To Heaven (GBGTH) sebagai sesuatu yang di luar jangkaan apabila ramai individu tampil berkongsi pengalaman pernah menjadi mangsa jenayah seksual selepas menonton naskhah tersebut.
Menurut Beto, perkembangan itu dianggap positif kerana menunjukkan masyarakat semakin berani bercakap mengenai isu yang sebelum ini sering dianggap sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.
“Sebab drama ini, ramai mahu menjadi detektif untuk merungkai konflik namun di sisi lain pula, ada yang mula bercakap dan membincangkan jalan cerita GBGTH dalam media sosial ibarat memberi satu kepuasan kepada saya.
“Akhir-akhir ini juga, saya ada membaca beberapa komen dan menerima mesej peribadi daripada individu yang berani untuk berkongsi pengalaman mereka.
“Ada yang mengakui bahawa suatu ketika dahulu mereka pernah melalui situasi yang hampir sama seperti yang dipaparkan dalam siri ini (jenayah seksual) melibatkan individu yang dipercayai, ini perkembangan positif sebab mereka sudah berani bersuara,” katanya kepada Kosmo! Online.
Beto berkata demikian selepas menghadiri majlis tayangan episod ketujuh drama berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Melihat respons yang diterima, Beto berharap isu berkaitan jenayah seksual dapat dibincangkan dengan lebih terbuka tanpa lagi dianggap sebagai sesuatu yang memalukan atau mencalarkan nama baik keluarga.
“Saya berharap isu seperti ini tidak lagi dianggap sebagai satu tabu. Terutamanya persepsi segelintir ibu bapa yang berasa malu untuk membicarakannya.
“Mungkin suatu ketika dahulu soal maruah dan nama baik keluarga menjadi penghalang tetapi saya percaya keadaan kini sudah banyak berubah.
“Tujuan kami bukanlah untuk mendidik, tetapi untuk menimbulkan kesedaran. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan di luar jangkaan,” ujarnya.
Sejak ditayangkan, Good Boys Go To Heaven menjadi antara drama yang hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mengangkat kisah pembunuhan melibatkan jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki.
Selain mengikuti perkembangan jalan cerita, ramai penonton turut membuat pelbagai teori dan cuba meneka identiti pembunuh sebenar dalam siri berkenaan.
Selain Beto, drama tersebut turut dibintangi Zahirah Macwilson, Amerul Affendi, Firdaus Karim, Malek McCrone, Mila Mohsin dan Dai Fuad.
Sumber: Kosmo! Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|6 Views
No Comments yet
Be the first to comment.