Demi Arwah Bapa, Fauziah Nawi Sambung Pengajian Sarjana Pada Usia 73 Tahun
- #hiburan
- #tempatan
- #selebriti
- #pelakon
- #fauziahnawi
- #sambungbelajar
- #phd
Pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi membuktikan usia bukan penghalang untuk menimba ilmu apabila kini sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana (master) dalam bidang seni di Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Fauziah, 73, keputusannya menyambung pengajian dibuat atas minat sendiri meskipun pada peringkat awal dia berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran akademik dan penggunaan bahasa ilmiah.
"Saya tidak peduli apa orang nak kata tentang usia. Saya sambung belajar sebab memang mahu belajar.
"Pada mulanya memang agak susah kerana perlu menggunakan bahasa ilmiah. Tetapi selepas pensyarah memberi penerangan, semuanya menjadi lebih mudah untuk difahami.
"Saya menjalankan penyelidikan berdasarkan perkara yang pernah saya lakukan sebelum ini. Seronok juga dapat pengalaman baharu dan menyiapkan tugasan bersama rakan-rakan," katanya.
Fauziah memulakan pengajian tersebut pada Januari lalu dan menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada masa akan datang.
Katanya, semangat untuk kembali ke dunia akademik turut didorong oleh arwah bapanya, Allahyarham Nawi Mukri, yang pernah berharap agar dia menyambung pelajaran.
"Ini sebenarnya untuk arwah bapa saya. Dulu dia selalu suruh saya sambung belajar, tetapi ketika itu saya lebih berminat dengan dunia lakonan.
"Saya juga sering bermimpi memakai uniform sekolah dan berada di dewan peperiksaan tetapi tidak dapat menjawab soalan. Selepas sambung belajar, mimpi itu sudah tidak datang lagi," ujarnya.
Sebelum ini, Fauziah pernah memperoleh Ijazah Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) daripada Open University Malaysia (OUM) pada 2018 serta Diploma Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy pada 2020.
Dalam masa sama, Fauziah menegaskan pengajian yang diikuti tidak bermakna dia mahu meninggalkan dunia seni yang telah diceburinya selama puluhan tahun.
"Bukanlah saya mahu jadi pensyarah selepas ini. Saya cuma mahu menambah ilmu dan menjadi lebih berpengetahuan.
"Sebelum ini pun saya memang aktif mengendalikan kelas lakonan. Cuma sekarang saya perlu lebih bijak membahagikan masa antara pengajian dan kerjaya seni," katanya.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|5 Views
No Comments yet
Be the first to comment.