Pelakon Sophia AlBarakbah mengakui berdepan cabaran emosi ketika menjayakan beberapa babak intensif bersama Datuk Rosyam Nor dalam drama 'Jiwa Seorang Pentaksub', termasuk adegan yang memerlukan dia meludah ke wajah aktor berpengalaman itu.
Menurut Sophia, 32, meskipun berasa serba salah dan gementar, dia tetap melaksanakan arahan tersebut demi memastikan emosi serta penderitaan watak Diana dapat diterjemahkan dengan berkesan kepada penonton.
“Contohnya, dalam babak Diana meludah Firzan, beliau sendiri minta saya betul-betul meludah ke mukanya. Sebagai pelakon junior, memang rasa bersalah dan takut dianggap tidak menghormati senior, tetapi demi babak itu saya terpaksa lakukan.
“Walaupun beliau sangat berhati-hati ketika babak penderaan, beberapa adegan menyebabkan kaki saya dipenuhi lebam,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam drama berkenaan, Sophia membawakan watak Diana, seorang wanita yang berdepan penderaan fizikal, seksual dan emosi, sekali gus menuntut penghayatan yang mendalam sepanjang proses penggambaran.
Selain adegan meludah, aktres itu turut perlu melakonkan babak menampar dan menendang Rosyam beberapa kali, sesuatu yang pada awalnya membuatkan dia berasa takut memandangkan status aktor tersebut sebagai antara figura besar dalam industri.
Bagaimanapun, Sophia menyifatkan pengalaman bekerja dengan Rosyam sebagai satu peluang berharga, lebih-lebih lagi apabila pelakon dan penerbit itu memberikan pengiktirafan terhadap usahanya menjayakan watak berkenaan.
“Alhamdulillah, apabila lakonan dipuji dan diiktiraf seorang anak seni dihormati ramai seperti beliau. Ini sangat bermakna buat saya, tambahan pula beliau sendiri yang menawarkan watak Diana kepada saya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Sophia berkata dia pada mulanya berasa gementar untuk bergandingan dengan Rosyam kerana aktor tersebut mempunyai aura tersendiri selain sering mencetuskan idea spontan ketika berada di set.
“Beliau selalu berpesan, abang nak awak jadi pelakon yang hebat, gunakan perkongsian dan ilmu ini untuk hebatkan lagi lakonan,” ulasnya.
Dalam pada itu, Sophia berharap penonton dapat melihat watak Diana daripada sudut yang lebih luas dan memahami realiti sebenar mangsa penderaan yang sering terperangkap dalam ketakutan serta kesukaran untuk keluar daripada hubungan toksik.
“Walaupun Diana melalui pelbagai kekasaran dan ugutan, dia tetap berusaha mencari jalan keluar. Saya harap watak ini memberi harapan bahawa masih ada jalan untuk keluar daripada hubungan toksik,” katanya.
Drama bersiri 25 episod 'Jiwa Seorang Pentaksub' sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila mengangkat kisah seorang lelaki berpengaruh yang terlalu taksub terhadap kekasih anaknya, watak yang dibawakan Rosyam Nor.
0 Comments
|7 Views
No Comments yet
Be the first to comment.