Fazura Masih Simpan Impian Ke Itali Bersama Cinta Hati

Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura mengakui masih menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Itali bersama insan istimewa dalam hidupnya, meskipun hasrat itu masih belum menjadi kenyataan sehingga hari ini.

Menurut Fazura, impian tersebut sudah lama wujud sejak zaman remajanya dan pernah dirancang beberapa kali, namun pelbagai faktor menyebabkan ia tertangguh.

"Sejak remaja lagi, saya selalu berkata bahawa suatu hari nanti saya ingin pergi ke Itali bersama cinta hati saya. Namun sehingga kini, impian itu masih belum tercapai.

"Sudah banyak kali merancang untuk ke Itali, tetapi masih belum menjadi kenyataan. Kadang-kadang perkara yang kita impikan dan doakan dengan bersungguh-sungguh tidak semestinya berlaku dengan segera.

"Ketika usia 20-an dan awal 30-an dahulu, saya sangka semuanya akan berlaku dengan cepat, tetapi hakikatnya tidak begitu. Hingga hari ini, walaupun pelbagai perancangan telah dibuat, saya masih belum menjejakkan kaki ke Itali," katanya dalam satu sesi siaran langsung di media sosial.

Bagaimanapun, Fazura berkata impian tersebut tidak semestinya perlu direalisasikan bersama pasangan kerana seseorang masih mampu mengejar kebahagiaan dan memenuhi impian hidup secara sendiri.

"Mungkin saya akan bertemu dengan cinta hati saya suatu hari nanti. Namun jika ditakdirkan saya tidak bertemu jodoh atau tidak berkahwin, adakah itu bermakna saya tidak boleh pergi ke Itali seorang diri?

"Jika Allah menghadirkan seseorang dalam hidup saya, itu adalah ketentuan-Nya. Namun jika tidak, tidak bermakna saya tidak boleh meneruskan hidup dan merealisasikan impian saya sendiri.

"Pada akhirnya, saya sendiri adalah insan yang perlu menyayangi diri saya. Saya sentiasa akan menjadi cinta pertama dan utama dalam hidup saya, walau apa pun yang berlaku," ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon filem Gol & Gincu itu tidak menafikan masih mengharapkan kehadiran seorang lelaki yang mempunyai ciri kepimpinan dan mampu membimbing dirinya sebagai pasangan hidup.

"Insya-Allah, saya berharap dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik, yakin dengan dirinya, berani, bertanggungjawab, tegas dan mampu membimbing saya.

"Selama bertahun-tahun saya terbiasa memikul banyak tanggungjawab dan memainkan peranan yang kuat dalam hidup. Kini, saya juga ingin merasai menjadi seorang wanita yang boleh bersandar kepada pasangannya.

"Saya mengimpikan seorang lelaki yang mampu memimpin hubungan dengan baik. Apabila dia memimpin, saya boleh berehat dan menikmati sisi kewanitaan saya.

"Saya boleh menjadi lebih manja, lebih tenang dan lebih selesa bersamanya. Itulah yang saya harapkan dan impikan," katanya.

Pada masa sama, Fazura menegaskan bahawa kebahagiaan dan ketenangan hidup tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pasangan atau manusia lain.

"Apabila bercakap tentang jodoh dan pasangan hidup, pada akhirnya kita harus sedar bahawa kebahagiaan dan ketenangan sebenar tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Kebahagiaan dan ketenangan itu bermula daripada diri kita sendiri.

"Oleh itu, janganlah kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada manusia. Sebaliknya, letakkanlah pergantungan yang utama kepada Allah dan terus menghargai diri sendiri," katanya.

Sumber: Utusan



0 Comments

|

7 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content