Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menyuarakan rasa kesal terhadap trend penulisan lirik lagu dangdut masa kini yang dilihat semakin berani mempertaruhkan unsur lucah dan sensasi demi mengejar populariti tular.
Menurut Fedtri, 45, setiap genre muzik mempunyai karakter tersendiri, namun keaslian dangdut Malaysia yang dahulunya bersifat sopan dan penuh dengan bahasa kiasan yang murni kini semakin terhakis.
"Sepanjang saya tahu, dangdut Malaysia ini bersifat sopan dan bahasanya berlapis kerana ketegasan dalam penapisan lagu suatu ketika dahulu. Contohnya lagu klasik yang menggunakan kiasan meminang dengan sangat cantik.
"Tetapi sekarang, saya rasa segan apabila membaca lirik dangdut yang tular. Bayangkan jika kita bersama keluarga, penyanyi melontarkan perkataan bermaksud ganda (double meaning) yang menyentuh sensitiviti. Ada perkataan yang jelas membawa unsur lucah," katanya kepada Harian Metro.
Dia menyifatkan tindakan segelintir pengkarya yang sengaja mencipta lirik sedemikian sebagai sesuatu yang memalukan.
"Sebagai pengkarya yang sudah lama, saya marah. Tidak perlu buat revolusi dangdut yang membawa elemen seperti ini.
"Seni kata itu sendiri bermaksud perlu ada 'seni' dalam setiap kata-kata yang ditulis. Jika lirik ditulis secara semberono tanpa nilai seni, ia bukan lagi seni kata yang berkualiti," katanya.
Fedtri turut meluahkan kebimbangan mengenai pengaruh luar, khususnya elemen dangdut dari negara jiran yang lebih berani dan 'terbuka' sehingga mula meresap ke dalam industri muzik tempatan.
"Saya kecewa apabila elemen ini masuk ke sini. Zaman 90-an dahulu, dangdut kita hanya berkisar mengenai asyik bercinta atau rindu-rinduan yang murni. Sekarang, ada yang sengaja tular dengan lirik pelik dan kemudian mengharapkan orang memaafkan mereka. Kita perlu ketegasan," katanya.
Mengulas mengenai tindakan sewajarnya, Fedtri berharap pihak berkuasa dan industri dapat melaksanakan sekatan atau penapisan yang lebih ketat bagi memberi kesedaran kepada pengkarya.
"Kita bukan mahu menghukum, tetapi untuk memberi kesedaran. Apabila ada sekatan, barulah mereka mungkin akan kembali dengan imej yang lebih mulia.
"Saya pernah bertanya kepada tokoh lirik seperti Datuk M Nasir dan Habsah Hassan mengenai rahsia lirik hebat. Jawapan mereka adalah bermunajat kepada Ilahi untuk mendapatkan ilham.
"Kita perlu tukar aliran ini kerana bimbang ia memberi kesan buruk kepada pemikiran anak-anak muda yang kini mudah terpengaruh di media sosial," kata ketika ditemui selepas sidang media tayangan filem The Voice of Hind Rajab, semalam.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|147 Views
No Comments yet
Be the first to comment.