Pelakon Datin Intan Najuwa tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan perkongsiannya mengenai hasrat untuk mencuba kaedah vaginal birth after caesarean (VBAC) bagi kelahiran anak kedua.
Menurut Intan, perkongsian tersebut dibuat sekadar untuk mendapatkan pandangan dan pengalaman daripada ibu-ibu yang pernah melalui proses berkenaan selepas doktornya memberi lampu hijau untuk mencuba kaedah tersebut.
"Saya rasa ada sedikit salah faham mengenai status saya sebelum ini tentang VBAC. Saya hanya bertanya tentang tip dan pengalaman daripada ibu-ibu yang pernah melaluinya kerana doktor saya telah memberi lampu hijau untuk mencuba.
"Sudah tentu saya teruja untuk meneroka pilihan itu," katanya menerusi Threads.
Pelakon berusia 29 tahun itu turut menegaskan dia tidak pernah memandang rendah atau mempertikaikan kaedah kelahiran secara pembedahan kerana anak pertamanya juga dilahirkan melalui prosedur tersebut atas faktor kesihatan.
"Anak pertama saya dilahirkan melalui C-section kerana ketika itu keutamaan saya hanya satu, iaitu memastikan ibu dan bayi selamat serta sihat.
"Malah, saya sendiri terus bersetuju apabila doktor mencadangkan pembedahan tersebut," ujarnya.
Intan menjelaskan keinginannya untuk mencuba VBAC bukan kerana mahu membuktikan sesuatu atau terlalu mengejar pengalaman bersalin normal.
Sebaliknya, katanya, keselamatan ibu dan bayi tetap menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.
"Kalau saya berpeluang melalui pengalaman VBAC, Alhamdulillah. Jika tidak, itu juga tidak mengapa.
"Akhirnya, saya akan sentiasa mengikut nasihat doktor dan memilih apa yang paling selamat untuk ibu serta bayi," katanya.
Dalam masa sama, Intan turut menolak tanggapan segelintir pihak yang cuba mengaitkan perbincangan mengenai VBAC dengan isu kaum atau mentaliti tertentu.
Katanya, setiap wanita mempunyai pengalaman dan pilihan berbeza berkaitan proses kelahiran tanpa mengira latar belakang.
"Perkara ini langsung tiada kaitan dengan kaum atau mentaliti Melayu. Saya mempunyai kawan daripada pelbagai bangsa dengan pilihan dan pengalaman yang berbeza.
"Ada yang memilih bersalin normal, ada yang memilih caesarean dan ada juga yang hanya mengikut apa yang paling selamat apabila tiba masanya.
"Saya cuma bertanya tentang tip dan pengalaman VBAC, bukannya mahu memulakan perdebatan mengenai kaum, kaedah bersalin atau cara pemikiran," jelasnya.
Sebelum ini, Intan mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen selepas meminta perkongsian pengalaman daripada ibu-ibu yang pernah menjalani VBAC menerusi platform Threads.
0 Comments
|61 Views
No Comments yet
Be the first to comment.