Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon Norman Hakim akhirnya tampil bersuara selepas isu pembayaran 'mas kahwin tertunggak' melibatkan bekas isterinya, Abby Abadi kembali hangat diperkatakan di media sosial.
Menerusi satu perkongsian di Instagram (IG), Norman memuat naik rakaman dirinya menyerahkan sejumlah wang secara tunai kepada Abby, selain memaparkan tangkap layar transaksi yang jelas tertera jumlah RM11,111.11.
Namun, jelas Norman, penggunaan istilah 'mas kahwin tertunggak' pada transaksi tersebut hanyalah untuk tujuan rekod dan dokumentasi kewangan, bukan merujuk kepada nilai sebenar mas kahwin seperti yang disalah tafsir ramai.
"Tak ada mas kahwin di Malaysia sampai lima angka. Paling tinggi pun tiga angka. Khilaf aku, letak tajuk itu untuk tujuan rekod dan filing supaya tax consultant senang buat kerja," jelasnya.
Dalam pada itu, Norman turut menegaskan agar orang luar tidak mencampuri urusan peribadinya bersama bekas isteri, khususnya berkaitan isu nafkah yang sering menjadi bahan perbincangan.
"Mengenai nafkah tertunggak, ini aku bagi amaran pertama dan terakhir. Jangan cuba masuk campur. Itu urusan antara aku dan bekas isteri aku," katanya tegas.
Norman turut menjelaskan wang yang diserahkan kepada Abby adalah hasil titik peluhnya sendiri, termasuk dividen perniagaan yang diusahakan tanpa bergantung kepada sesiapa.
"Yang aku keluarkan duit dan bagi bekas isteri aku pun duit dividen yang aku bersengkang mata bertungkus lumus bekerja siang malam," ujarnya.
Dalam masa sama, Norman mendedahkan dirinya telah menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai sejak awal 1990-an, selain menerima pelepasan cukai sebanyak RM1,000 bagi setiap anak pada setiap tahun.
Mengulas mengenai tindakan Abby yang kerap berkongsi perkara berkaitan di media sosial, Norman memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.
"Mengenai bekas isteri aku suka kongsi di media sosial, itu hak dia. Orang lain tak boleh kawal," katanya.
Sebelum ini, Abby mencuri perhatian ramai apabila memuat naik bukti transaksi pembayaran oleh bekas suaminya secara dalam talian bertarikh 2 Disember lalu, dengan keterangan jelas tertera 'mas kahwin tertunggak', sekali gus menamatkan penantian selama 22 tahun.
Dalam kenyataan berasingan, Abby Abadi pula menjelaskan perkongsian tersebut bukan bertujuan mengaibkan bekas suaminya, iaitu aktor Norman Hakim.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata niatnya hanyalah sebagai peringatan agar tanggungjawab seperti hutang tidak ditangguhkan selagi masih bernyawa.
"Saya kongsi tentang mas kahwin itu dengan niat supaya menjadi contoh kepada bekas suami di luar sana. Apa yang tertangguh, selesaikan selagi masih ada. Tiada niat pun untuk mengaibkan sesiapa," katanya menerusi di TikTok.
Menurut Abby, selepas perkongsian tersebut dibuat, ramai netizen memuji sikap tanggungjawab bekas suaminya itu.
Bagaimanapun, Abby mendakwa Norman terasa hati dengan perkara tersebut sehingga menarik diri daripada percutian keluarga mereka.
"Ramai saja yang puji Oman (Norman Hakim). Kata dia bagus, baik, bertanggungjawab, kacak dan pemurah. Tapi Oman merajuk sampai tak nak pergi Jepun.
"Saya berpuluh tahun sabar pun tak pernah merajuk. Gagah saja. Awak (Norman) tak payah nak benyek-benyek sangat," ujarnya berseloroh terhadap Norman.
Sebelum ini, Abby memaklumkan dia akhirnya menerima bayaran mas kahwin tertangguh daripada Norman selepas menunggu selama 22 tahun.
Dalam masa yang sama, Abby menzahirkan rasa syukur kerana suaminya, Faizal Zakaria, serta isteri Norman, Memey Suhaiza, tidak pernah mencampuri urusan tertangguh antara mereka.
Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17.
Abby kemudian berkahwin dengan Faizal, manakala Norman mendirikan rumah tangga bersama Memey pada 2011.
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|146 Views
No Comments yet
Be the first to comment.