Personaliti televisyen terkenal, Elly Mazlein menyambut baik kemunculan bakat baharu dalam dunia pengacaraan, termasuk Azeva, namun berharap orang ramai tidak terlalu cepat menghakimi mereka yang masih berada di fasa awal pembelajaran.
Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, industri hiburan memerlukan lebih ramai pelapis berkualiti, namun setiap pengacara perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan memahami tanggungjawab sebenar sebelum mengendalikan sesebuah program.
“Saya gembira melihat adik-adik yang dah mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan. Dengan adanya Azeva dan Cik B, saya rasa ini satu langkah yang baik untuk industri tanah air, tetapi dengan satu syarat, semua pendatang baharu kena ada pengetahuan juga.
“Tanggungjawab seorang pengacara bukan mudah. Memang boleh gila-gila macam saya, tetapi dalam masa sama kita kena tahu format program.
“Kita kena tahu tugasan kita sebagai pengacara supaya info yang kita dapat disampaikan dengan baik, kemudian barulah kita selitkan personaliti kita yang kelakar,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam masa sama, Elly yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom meminta orang ramai memberi ruang kepada bakat baharu untuk berkembang tanpa dibebani kritikan melampau.
“Jangan jadi ‘joy killer’. Bila dah ada orang baharu, kita kena percayakan dia sebab dia baru minggu pertama mengacara.
“Ramai yang cakap Azeva ialah Kak Lina Pom Pom 2.0. Tak mengapa, kalau awak rasa benda itu boleh menggembirakan orang, tak salah nak tiru.
“Rezeki masing-masing. Saya nampak Azeva selesa di atas pentas. Kalau dia ambil cara saya, itu satu pujian sebab ada orang jadikan saya contoh,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Elly turut memuji kesungguhan Azeva dan Cik B yang dilihat mempunyai potensi besar sebagai pengacara.
Katanya, Malaysia ketika ini masih kekurangan individu yang benar-benar mampu mengendalikan program dan acara berskala besar.
“Saya suka Azeva walaupun ini kali pertama, tetapi kita nampak dia betul-betul seronok dan tahu apa yang perlu dibuat, begitu juga dengan Cik B.
“Saya harap akan lahir lebih ramai lagi pengacara baharu kerana Malaysia memang ketandusan pengacara yang boleh mengendalikan sesebuah majlis atau program,” katanya.
Sebelum ini, Azeva diumumkan sebagai hos program Big Stage X bergandingan dengan Nabil Ahmad.
Terdahulu, anak kepada penerbit A. Aida itu berjaya meraih tempat keempat dalam program Talk To My Manager Musim 2.
Sumber: Kosmo! Online
0 Comments
|85 Views
No Comments yet
Be the first to comment.