Kes Rujuk Adira Diteruskan, Mahkamah Tolak Permohonan Datuk Red
- #hiburan
- #tempatan
- #selebriti
- #adira
- #datukred
- #tanahair
- #mahkamahtolak
- #lafazrujuk
Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Khamis menolak permohonan usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar untuk menarik balik kes pengesahan lafaz rujuk terhadap bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi.
Peguam syarie yang mewakili Adira, Nor Saidah Zakaria berkata, keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Nurul Hidayah Jani selepas meneliti permohonan berkenaan.
Menurutnya, prosiding kes tersebut akan diteruskan dengan sesi keterangan pihak defendan pada 9 Julai depan.
“Mahkamah menolak untuk penarikan kes jadi kita akan teruskan dengan keterangan defendan (Adira) pada 9 Julai ini.
“Pengesahan lafaz cerai dan rujuk adalah berdasarkan hukum syarak tak boleh sewenangnya ditarik semula.
“Sekiranya berlaku lafaz talak atau lafaz rujuk di luar mahkamah perkara itu perlu dibawa ke mahkamah untuk disahkan oleh hakim. Hanya hakim menentukan sama ada lafaz itu sah atau tidak,” katanya kepada pemberita.
Prosiding yang bermula sekitar jam 2.30 petang itu berlangsung hampir sejam dengan kehadiran kedua-dua pihak bagi mendengar keputusan berhubung permohonan berkenaan.
Sementara itu, Adira berkata dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan kes berkenaan sudah memasuki pertengahan prosiding.
“Sebenarnya saya sedia apa saja keputusan dari mahkamah memandangkan kes ini sudah separuh jalan.
“Saya okay saja kerana tak ada apa yang berubah. Kalau hari ini tak selesai lagi, saya masih boleh bekerja macam biasa.
“Saya boleh jaga anak-anak macam biasa jadi Alhamdulillah tak ada masalah pun,” ujarnya.
Untuk rekod, Adnan memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk itu di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.
Beliau mendakwa berlaku lafaz rujuk terhadap Adira pada Mei 2024 ketika tempoh iddah selepas perceraian mereka, namun perkara tersebut tidak disahkan oleh penyanyi berkenaan.
Bagaimanapun, Adira sebelum ini menegaskan dia tidak mengetahui mengenai dakwaan lafaz rujuk tersebut.
Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 9, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 4 tahun.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|3 Views
No Comments yet
Be the first to comment.