Pelakon Ieda Moin meluahkan kebimbangan terhadap masa depan industri komedi tanah air yang disifatkannya semakin suram berikutan kekurangan platform serta bakat pelapis baharu, khususnya dalam kalangan wanita.
Menurut Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, suasana industri komedi ketika ini tidak lagi semeriah seperti dahulu apabila ramai penggiat komedi beralih ke bidang lain seperti penyiaran radio dan pengacaraan bagi meneruskan kelangsungan kerjaya.
Katanya, ruang untuk karya dan penggiat komedi juga semakin mengecil, sekali gus memberi kesan kepada perkembangan genre tersebut dalam industri hiburan tempatan.
"Kalau bercakap tentang pelawak wanita, jumlahnya memang sangat sedikit. Boleh dikira dengan jari siapa yang masih aktif sekarang.
"Tambahan pula, bayaran untuk pelawak tidaklah setanding dengan sesetengah pelakon lain. Namun saya masih bersyukur kerana masih diberi peluang dan kepercayaan untuk terus berkarya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Ieda menjelaskan dia lebih selesa dikenali sebagai pelakon berbanding pelawak kerana perjalanan seninya tidak pernah terhad kepada watak komedi semata-mata.
Menurutnya, dia memulakan kerjaya dengan membawakan watak-watak serius sebelum lebih dikenali menerusi karakter yang mencuit hati penonton.
"Ramai tak sangka saya boleh bawa watak berat atau emosional kerana mereka lebih mengenali saya menerusi watak komedi.
"Sebenarnya saya tidak pernah meletakkan had pada watak yang ditawarkan. Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang boleh membawa pelbagai karakter," ujarnya.
Mengulas mengenai naskhah komedi, Ieda percaya genre tersebut masih mempunyai tempat dalam kalangan penonton sekiranya dipersembahkan dengan skrip yang berkualiti dan sarat mesej positif.
Bagaimanapun, dia mengakui industri kehilangan satu figura penting selepas pemergian pengarah Allahyarham Mamat Khalid yang disifatkan sebagai antara individu paling berjaya mengangkat karya komedi dan satira tempatan.
"Saya harap lebih ramai penerbit tampil menghasilkan karya komedi yang bermutu kerana komedi bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya boleh menyampaikan pengajaran dan mesej yang mendalam kepada penonton," katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Ieda berkata dia kini sibuk menjalani penggambaran beberapa projek termasuk drama bersiri untuk platform penstriman dan televisyen.
Menurutnya, dia baru sahaja menamatkan penggambaran sebuah drama untuk Viu Malaysia selain sedang terlibat dalam projek terbaharu bagi slot Akasia TV3.
"Biasanya kalau saya berada dalam cerita yang berat, watak saya berfungsi sebagai penyeri atau penyejuk suasana supaya jalan cerita tidak terlalu tegang untuk penonton," katanya.
0 Comments
|5 Views
No Comments yet
Be the first to comment.