Kongsi Cerita Keluarga Bukan Sebab Nak Tunjuk Baik

Pelakon, Ozzlyn Wati mengakui platform Threads menjadi ruang paling selesa untuknya berkongsi pandangan mengenai kehidupan berumah tangga, selain mendekatkan diri dengan warganet  yang selama ini mengikuti perjalanan hidupnya sebagai seorang selebriti, isteri dan ibu.

Menurut Ozzlyn, walaupun media sosial sering dilabel sebagai tempat yang dipenuhi aura negatif, pengalaman yang dilaluinya agak berbeza kerana kebanyakan respons yang diterima bersifat positif dan membina.

Katanya, ramai yang melihat dirinya sebagai seorang wanita yang lantang dan berterus terang, namun sifat itu sebenarnya membuatkan ramai lebih mudah memahami apa yang cuba disampaikan.

"Orang selalu cakap saya ini lantang, saya ini very loud. Jenis saya nak cakap, saya cakap saja. Macam tak ada nak berselindung.

"Mungkin benda itu orang suka sebab berasa dekat dan terkait dengan kehidupan mereka juga. Tapi sebenarnya, apa yang kita pertontonkan di media sosial selalunya adalah lima hingga 10 peratus sahaja.

"Selebihnya, banyak yang orang tak tahu. Tapi apa yang kita kongsikan itu, saya bukan nak menunjuk saya ini bagus, saya ini atau itu, tidak! Kalau anda ada masalah anak, saya pun sama. Ada masalah suami isteri gaduh, saya pun ada sama juga. 

"Cuma caranya, kita jadi profesional, tidak melimpahkan kepada media sosial. Maksudnya kita selesaikan dengan komunikasi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 



Tambah Ozzlyn, segala perkongsian yang dibuat bukan bertujuan untuk mengajar orang lain, sebaliknya sekadar memberikan perspektif berdasarkan pengalaman sendiri.

Jelasnya, dia tidak pernah berniat untuk membuka ruang kepada gosip atau menjadikan isu rumah tangga sebagai bahan sensasi.

"Maksudnya, apa yang saya beritahu di media sosial itu atau Threads itu, saya beritahu kebenaran. Jika anda mahu terima atau tidak, terpulang. Itu cara awak.  Saya cakap tentang cara saya. 

"Saya cakap itu pun secara umum. Maksudnya supaya orang faham. Tidak ada nak melibatkan gosip-gosip atau urusan orang lain," ujarnya.  

Bercakap mengenai rumah tangga bersama suaminya, pelawak dan pelakon Johan, Ozzlyn menegaskan hubungan suami isteri tidak boleh disamakan dengan pasangan lain kerana setiap rumah tangga mempunyai cara dan ujian tersendiri.

Kongsi Ozzlyn, Johan seorang yang sangat suka berkomunikasi dan berterus terang, sekali gus memudahkan mereka menyelesaikan sebarang masalah secara matang.

"Kalau suami itu adalah seorang yang dia suka berkongsi dengan isteri dia, benda itu untuk saya tak ada masalah. Sebab Johan dengan saya, dia suka berkongsi. Maksudnya, kami ini adalah manusia yang tak suka menoleh ke belakang.

"Kita fokus dekat depan. Apa yang jadi dekat belakang, kalau kita bertelagah dengan orang yang terlibat dan sebagainya, mereka dah bahagia dah. Yang kita ini tak akan bahagia,”ujarnya.



Menurut Ozzlyn, komunikasi adalah perkara paling penting dalam perkahwinan dan ramai pasangan gagal memahami hakikat itu kerana terlalu takut untuk berkongsi beban masing-masing.

Katanya, suami yang memilih untuk memendam masalah sebenarnya hanya akan menjarakkan hubungan dengan isteri. 

Dalam masa sama, Ozzlyn menegaskan pasangan suami isteri tidak boleh terlalu gemar membandingkan pasangan sendiri dengan orang lain kerana setiap individu mempunyai latar belakang, sifat dan ujian berbeza.

Sementara itu, mengimbau detik paling sukar dalam rumah tangga mereka, Ozzlyn turut berkongsi kisah menerima nafkah RM1 daripada Johan pada awal perkahwinan, yang sehingga kini masih memberi kesan mendalam buat dirinya.

Katanya, ketika itu Johan benar-benar berada dalam keadaan susah sehingga hanya itu sahaja yang mampu diberikan sebagai nafkah.

"Saya tak boleh nak cakap pasal bab dia bagi saya nafkah RM1 itu. Masa dia bagi pada saya itu, saya ingat lagi dia cakap, dia kata, 'Awak, saya tak ada apa nak bagi pada awak. Makan pun awak yang keluarkan duit. Jadi saya ada RM1 saja. Ini saja yang saya ada untuk awak.'

"Saya cakap pada Johan, saya terima. Lepas itu saya masuk bilik air. Masa dalam bilik air itu, saya menangis sebab saya rasa, ya Allah, macam mana dia merendahkan diri dia, menghadap kita, bagi duit nafkah RM1.

"Sebab orang kata mustahil lah, tak akanlah Johan bagi nafkah RM1. Ini kita cerita hal dulu, bukannya sekarang," katanya.  



Menurut Ozzlyn, situasi itu tidak lagi berlaku hari ini kerana suaminya kini sudah mampu memberikan kehidupan yang lebih baik buat keluarga mereka.

"Kalau cakap pasal sekarang, apa saja yang saya nak, dia berikan. Semua ada. Semua duit dia pun, semuanya atas nama kita. Semuanya dia dah letak pada saya.

"Jadi adakah suami-suami itu akan buat benda yang sama macam Johan? Dan adakah isteri akan ikut susah sama macam suami dia? Jadi benda itu sebenarnya umum. Tak semua orang sama,”katanya.  

Bagi Ozzlyn, rezeki sebenar bukan sekadar diukur melalui kemewahan material, sebaliknya kehadiran pasangan yang bertanggungjawab dan keluarga yang baik merupakan nikmat paling besar.

"Kalau sebenarnya Tuhan bagi kau suami yang bagus, suami yang bertanggungjawab, anak-anak semua, keluarga yang cantik, itulah sebenarnya rezeki.

"Sebenarnya itu adalah rezeki daripada Allah. Rezeki yang Allah bagi, yang kita macam tak sangka. Sebab dia ada rezeki, ada ujian dia juga.

"Mustahil kalau kehidupan kita ini tak ada ujian yang Allah bagi. Ada saja, tapi ujian kita itu lain. Dia benda-benda kecil yang orang tak nampak. Masih ada ujian dia, tapi semuanya diselesaikan dengan cara baik," katanya.  

Sumber: Utusan



0 Comments

|

12 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content