Laman sosial kini dilihat seakan menjadi medan untuk sesetengah individu melemparkan kebencian dan menghakimi kehidupan orang lain secara terbuka.
Pelakon Nabila Huda tampil menegur sikap segelintir netizen yang disifatkan terlalu obses meninggalkan komen negatif di media sosial sehingga menimbulkan suasana toksik.
Menurut Nabila, situasi yang berlaku ketika ini membuatkan dirinya tertanya-tanya mengenai cara sesetengah individu dibesarkan sehingga kecaman dan kebencian dianggap perkara biasa.
"Dalam era media sosial ini, ramai yang makin sakit. Terlalu banyak kebencian. Saya sentiasa tertanya-tanya, bagaimana sebenarnya kamu dibesarkan?
"Sebab pengalaman dan trauma zaman kecil saya mengajar saya sesuatu yang berbeza," katanya menerusi hantaran di Threads.
Pelakon filem Gayong itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah menilai atau cuba mencampuri perjalanan hidup individu lain kerana setiap manusia mempunyai ujian tersendiri.
"Jangan sesekali menghakimi, mencari kesalahan atau cuba memperbetulkan hidup orang lain.
"Kita tak pernah tahu apa yang akan berlaku dalam hidup ini, jadi bersedialah," ujarnya.
Dalam perkongsian sama, Nabila Huda turut mengakui pelbagai pengalaman hidup yang dilalui sebelum ini banyak mematangkan dirinya sebagai individu.
Katanya, segala ujian itu menjadikan dia lebih kuat untuk terus melangkah dan fokus terhadap kerjaya serta impian yang ingin dicapai.
"Saya pernah melaluinya. Sebab itu saya tidak lagi peduli dengan bunyi bising di luar sana.
"Kamu tidak berada dalam perjalanan hidup saya. Saya akan terus melangkah, meneroka watak dan mengejar impian," katanya lagi.
Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci punca luahan tersebut, rata-rata netizen dilihat bersetuju dengan pandangan pelakon berkenaan selain memberikan kata-kata sokongan terhadapnya.
"Biarkan mereka yang tidak beradab terus begitu. Saya suka bakat semula jadi awak. Teruskan berkarya," tulis seorang pengguna Threads.
0 Comments
|22 Views
No Comments yet
Be the first to comment.