Noraniza Idris Tetap Sokong Konsert Tradisional Siti Nurhaliza Walau Tidak Dipilih
- #hiburan
- #tempatan
- #penyanyi
- #sitinurhaliza
- #noranizaidris
- #sokongkonsert
- #tradisional
- #etnik
Penyanyi irama tradisional Noraniza Idris menafikan dakwaan kononnya dia sudah menerima tawaran untuk menyertai Konsert Tradisional Gema Bumantara bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Noraniza, 58, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi dan menyerahkan sepenuhnya soal penyertaan itu kepada rezeki.
"Saya dari dahulu lagi jenis yang tak suka simpan harapan yang tinggi. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tiada, tak apa.
"Saya tetap akan sokong Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan cara yang lain," katanya kepada Harian Metro.
Tambah penyanyi yang digelar Ratu Etnik Kreatif itu, dia sememangnya mengikuti perkembangan konsert tradisional Siti dan sudah lama memasang impian untuk menyaksikannya secara langsung.
"Kita boleh menyokong dengan cara apa pun. Tak perlu tunggu dipinang (ditawarkan) atau apa.
"Sebenarnya, saya nak tengok konsert (tradisional) Datuk Seri Siti sejak mula-mula dia buat dengan arwah Pak Ngah sampailah setiap tahun.
"Dia satu nama besar dan lagu-lagu popular. Jadi, nak tengok bagaimana strategi konsert itu untuk tarik orang ramai dan minat. Saya suka fikir di sebalik perjalanan konsert.
"Tahun lepas pun saya ada hasrat nak ke konsertnya tapi sebab ada kekangan ditambah pula tak yakin dengan saiz badan waktu itu," katanya.
Mengulas penganjuran konsert tradisional di venue berskala besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Noraniza menyifatkan usaha tersebut sebagai satu perkembangan positif buat industri muzik tempatan.
"Itu satu perkembangan yang sangat bagus. Langkah itu bukannya baru sekarang, malah dari dulu lagi dia dah mula buat konsert di stadium seperti di Axiata Arena.
"Masa mula-mula dia buat dahulu, ramai yang kagum bagaimana seorang artis tempatan boleh penuhkan stadium, sebab bukan perkara yang mudah.
"Dia bermula di Istana Budaya sehinggalah berjaya ke peringkat stadium, semuanya adalah satu pencapaian yang hebat," katanya.
Dalam masa sama, Noraniza berkata penganjuran konsert berkonsepkan muzik tradisional di stadium bukan tugas mudah kerana memerlukan keseimbangan antara nilai seni dan tarikan komersial.
"Saya yang pernah terbabit dalam pengurusan acara tahu betapa sukarnya mahu menguruskan konsert berskala begitu, terutamanya untuk lagu-lagu irama Malaysia yang menekankan kualiti muzik yang tinggi.
"Pasaran komersial sekarang lebih melihat kepada populariti artis, jadi untuk mengimbangi antara kualiti tradisional dan elemen komersial di sebuah stadium besar adalah satu cabaran yang hebat," katanya.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|101 Views
No Comments yet
Be the first to comment.