Pernah Bersama Sejak 2006, Nadia Aqilah Kembali Sertai PGL

Selepas Mimi Fly diumumkan membawakan watak Bayan, pelakon Nadia Aqilah pula dipilih menggalas karakter sama dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical musim baharu.

Pengumuman tersebut dikongsikan pihak produksi yang memaklumkan pembabitan Nadia dalam pementasan ikonik itu sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2006.

"Perjalanannya bersama Puteri Gunung Ledang The Musical bermula pada tahun 2006 sebagai sebahagian daripada barisan pelakon asal.

"Lebih dua dekad kemudian, dia kembali dengan membawa bersama memori, semangat dan legasi emosi daripada dunia yang pernah membentuk perjalanan seninya sebagai pengkarya," menurut kenyataan produksi dalam media sosial.

Sebelum ini, pihak produksi mengumumkan pementasan baharu tahun ini tampil dengan pembaharuan apabila memperkenalkan dua watak Puteri dan dua watak Bayan.

Pendekatan tersebut dilihat sebagai usaha meneruskan kesinambungan karakter ikonik berkenaan kepada generasi baharu selain membuka ruang kepada lebih ramai penggiat seni menafsirkan watak tersebut dari sudut berbeza.

Nama Nadia Aqilah sememangnya antara pilihan ramai memandangkan kredibilitinya sebagai pelakon versatil selain pernah terlibat dalam pementasan itu.

Pelakon filem Zaitun Ceritaku itu juga disifatkan memiliki aura klasik serta intonasi yang sesuai dengan dunia hikayat Melayu.

Pemilihan Nadia bersama Mimi Fly sebagai Bayan, watak penasihat setia kepada Gusti Puteri Retno Dumilah, sekali gus memberi bayangan sebahagian pencarian produksi sudah pun terjawab.

Ketika ini, perhatian peminat tertumpu kepada pengumuman barisan pelakon bagi watak utama termasuk Sultan Melaka dan Gusti Puteri, yang bakal melengkapkan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical selepas hampir dua dekad mencipta fenomena dalam dunia teater tempatan.



0 Comments

|

6 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content