Raja Ema pilih hidup tenang di Melaka, tak lagi kejar penggambaran

Pelakon dan penyanyi veteran Raja Ema mengakui kini lebih selesa menjalani kehidupan yang tenang di Melaka sehingga sanggup menolak kebanyakan tawaran lakonan drama yang memerlukan komitmen di luar negeri itu.


Menurut Raja Ema atau Raja Ema Raja Ibrahim, 57, dia tidak lagi mahu melalui rutin kerja yang terlalu padat seperti ketika aktif dalam dunia lakonan suatu ketika dahulu.

“Saya memang dah tak nak 'rushing' macam dulu-dulu. Terkejar sana, terkejar sini, 'shooting' sampai pagi. Memang saya tak nak.

“Walaupun ada tawaran yang datang tetapi kebanyakannya saya tolak. Kadang-kadang rasa kasihan juga. Tetapi sebab jauh. Kalau sehari dua okey lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater muzikal Qais Dan Laila.

Tambahnya, faktor keluarga juga menjadi antara sebab dia lebih berhati-hati memilih tawaran, apatah lagi selepas anaknya pernah mengalami masalah kesihatan.

“Tambahan pula anak saya pernah sakit. Jadi agak sukar ketika itu untuk saya tinggalkan dia. Kalau dekat saya buat. Macam Keluarga Iskandar sebab mereka jalani penggambaran di Seremban.

“Sebenarnya saya menetap di Melaka pun gara-gara terperangkap ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) waktu Covid-19 dulu. Saya sewa rumah di sini untuk buat bisnes acar. Kemudian tuan rumah nak jual kepada saya. Saya rasa macam seronok pula tinggal di sini,” ujarnya.

Walaupun tidak lagi aktif dalam drama televisyen, Raja Ema bersyukur rezekinya dalam dunia seni tidak pernah putus apabila menerima banyak tawaran berlakon teater sejak menetap di Melaka.

“Saya ni jarang berlakon teater. Tetapi di Melaka ni banyak pula tawaran yang datang. Walaupun saya duduk di Melaka ni diam-diam sahaja. Tak pernah terfikir pun nak berlakon teater.

“Back-to-back juga tawaran teater yang datang. Sebelum ini Tuah Dan Teja, selepas ni Qais Dan Laila dan selepas itu ada sebuah lagi teater,” katanya.

Mengulas wataknya dalam Qais Dan Laila, Raja Ema berkata dia memegang karakter ibu kepada Qais yang memerlukan penghayatan emosi mendalam.

“Berlakon teater dengan drama agak lain. Bila berlakon teater kita kena guna tubuh badan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kena menggunakan otak juga sebab nak ingat dialog.

“Watak saya sebagai ibu kepada Qais. Watak ini agak berat juga kerana anaknya berperang dengan perasaan,” katanya.

Selain Raja Ema, teater anjuran Pertubuhan Teater Negeri Melaka (Pertem) itu turut dibintangi Syahir Syafein, Isyariana, Datuk Jalaludin Hassan, Ashraf Muslim dan Rashid Din, dan bakal dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka pada 24 Julai ini.

Sumber: Kosmo! Online



0 Comments

|

70 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content