Penyanyi Idayu menyelar tindakan segelintir guru vokal Malaysia yang didakwa tidak memberikan pengisian ilmu yang setimpal dengan bayaran yang dikenakan kepada pelajar.
Idayu atau atau nama lengkapnya Nur Farah Idayu Yaakob, 41, meminta agar tenaga pengajar berhenti membazirkan masa dan wang pelajar dengan hanya mengajar bahan-bahan yang boleh diperoleh secara percuma dalam platform media sosial.
"Tolonglah wahai cikgu vokal seluruh Malaysia. Jangan bazirkan duit pelajar anda dengan mengajar bahan-bahan yang ada dalam platform atas talian seperti YouTube, Instagram, TikTok dan sebagainya.
"Kasihan sangat tau, dahlah saya tengok seorang cikgu itu sejam ‘uuu aaa uuu aaa’ saja memanjang.
"Hujung-hujung pelajar habis masa sejam, balik apa pun tak dapat. Lagu pun satu baris tak selesai," katanya dalam Threads.
Tambahnya lagi, guru vokal di luar negara mempunyai pendekatan yang lebih efektif dengan mengutamakan penguasaan lagu dan teknik teknikal yang mendalam.
"Kalau tengok cikgu dari Indonesia atau antarabangsa, lain cara ajarannya.
"Warm up (panaskan) benda yang perlu buat tapi sekejap saja. Banyak lagi perlu diajar contohnya teknik pernafasan, cara nyanyian dan lain-lain.
"Pelajar nak belajar lagu yang memang diimpikan untuk belajar atau buat persembahan," ujarnya lagi.
Malah, pelantun lagu Gelora Rindu itu mempersoalkan integriti sesetengah guru vokal yang dianggap seolah-olah mengambil kesempatan terhadap keinginan pelajar yang sanggup membayar yuran kelas yang mahal.
"Beginilah, setakat nak ajar benda asas dan biasa, baik pelajar itu buka dan belajar dari YouTube.
"Cikgu pun ramai scammer ke? Duit pun satu hal, bukan murah bayar kelas itu.
"Kita cikgu kena menghargai keinginan pelajar," ujarnya.
0 Comments
|1 Views
No Comments yet
Be the first to comment.