Shahronizam Bersyukur Dikelilingi Sistem Sokongan Kuat Ketika Rawatan Kanser

Pelakon Shahronizam Noor mengakui sokongan daripada keluarga, rakan-rakan industri dan pihak produksi menjadi sumber kekuatan terbesar buat dirinya sepanjang menjalani rawatan susulan kanser tulang rawan.

Menurut Shahronizam, 53, ramai sahabat termasuk selebriti senior tidak putus-putus bertanya khabar selain memberikan bantuan dan kata-kata semangat sejak dia disahkan menghidap penyakit itu tahun lalu.

"Saya bersyukur mempunyai sistem sokongan yang kuat termasuk selebriti senior yang bertanya khabar, telefon dan mesej. Mereka tanya keadaan saya dan sebagainya.

"Mungkin mereka nampak saya macam baik-baik sahaja. Tetapi kita sendiri tahu bagaimana keadaan badan kita, lebih-lebih lagi apabila berdepan situasi ini.

"Perkara itu memang membuatkan saya terharu apabila ada kawan-kawan sanggup susah bersama saya dan cuba memudahkan urusan saya.

"Sudah tentu keluarga juga jadi peniup semangat utama untuk saya terus kuat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shahronizam dijadual menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada 9 Julai depan sebelum bertemu pakar onkologi pada 22 Julai bagi mengetahui perkembangan terkini penyakitnya.

Menurutnya, doktor turut mencadangkan rawatan kemoterapi yang melibatkan enam kitaran sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.

"Mungkin daripada CT scan itu nanti kita boleh lihat bagaimana perkembangan atau status kanser itu. Sebelum ini, doktor onkologi mencadangkan supaya saya menjalani kemoterapi.

"Rawatan kemoterapi dicadangkan adalah sebanyak enam kitaran. Setiap kitaran memerlukan saya dimasukkan ke hospital selama lima hari sebelum berehat selama tiga minggu untuk meneruskan kitaran seterusnya.

"Proses itu akan berterusan sehingga enam kitaran dan mengambil masa sekitar enam bulan. Jadi, kalau saya mula menjalani kemoterapi, agak sukar untuk saya bekerja seperti biasa," ujarnya.

Selain rawatan moden, suami kepada pelakon dan penyanyi Safura itu turut berikhtiar menerusi rawatan alternatif sebagai usaha tambahan untuk mendapatkan kesembuhan.

"Bukan setakat rawatan moden sahaja yang saya lakukan, saya juga berikhtiar melalui rawatan tradisional dengan ambil air penawar," katanya.

Dalam pada itu, Shahronizam meluahkan rasa syukur apabila pihak produksi drama bersiri 'Bidadari Tanpa Syurga' memberikan kerjasama penuh sepanjang proses penggambaran memandangkan keadaan fizikalnya yang masih dalam pemulihan selepas pembedahan.

"Saya bersyukur pengarah dan produksi memahami keadaan saya selepas pembedahan tulang apabila aksi lasak atau sentuhan fizikal yang berat disesuaikan dengan kemampuan fizikal saya.

"Ada babak tertentu saya tidak dapat lakukan seperti dahulu. Semua pelakon serta pihak penerbitan sangat bertolak ansur," katanya.

Terdahulu, Shahronizam disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap dua selepas mengalami sakit belakang kronik dan menjalani pembedahan membuang tumor pada Oktober tahun lalu.



0 Comments

|

5 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content