Wan Raja Akui Tidak Mampu Memilih Watak Demi Kelangsungan Kerjaya

Pelakon Wan Raja mengakui dirinya tidak berada pada kedudukan untuk memilih watak atau naskhah yang ditawarkan kerana menganggap peluang pekerjaan dalam industri lakonan tempatan tidaklah sebesar seperti di luar negara.

Menurut Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 48, sebagai pelakon yang mencari rezeki, dia lebih mengutamakan peluang bekerja berbanding terlalu memilih karakter yang mahu dibawakan.

“Pelakon ini mencari rezeki. Tetapi saya bukan pelakon legenda yang memilih watak atau jalan cerita yang ditawarkan. Saya terima tawaran Radio Televisyen Malaysia yang penggambarannya dilakukan di Terengganu, saya sudah berpuas hati. Bagi saya tiada peluang untuk memilih, segalanya bergantung kepada rezeki.

“Kalau dipandang dari sudut lain, mungkin saya distereotaip kerana tidak berpeluang memilih watak. Ya, memang benar dan sudah lama saya merasakan perkara itu. Sebab itu, apabila pihak produksi telefilem Camar Poelang memberi peluang kepada naskhah yang berbeza, saya terus katakan ya.

“Tapi hakikatnya pelakon Malaysia tidak boleh lari menjadi mangsa stereotaip. Sebab itu saya jarang berpeluang melakonkan watak yang berlainan. Kalau watak hero atau antagonis sekalipun tetap berulang. Kalau saya pada tahap legenda seperti Eman Manan, mungkin orang datang dan tadah skrip dan kemudian bincang soal harga.

“Macam saya, pelakon yang pada tahap biasa ini tiada peluang untuk memilih skrip,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Raja mengakui dia sudah lama menyedari dirinya sering diberikan karakter yang hampir sama, namun menerima hakikat tersebut sebagai sebahagian daripada realiti industri seni tempatan.

Menurutnya, saiz industri hiburan Malaysia yang kecil menyebabkan kebanyakan pelakon tidak mempunyai banyak pilihan berbanding penggiat seni di negara luar.

“Pada awalnya agak merisaukan. Tapi bila bermuhasabah diri, saya sedar yang industri kita ini tidak sebesar luar negara.

“Skop penonton kita sangat sedikit jika dibandingkan dengan Hollywood dan sebagainya. Dalam berjuta rakyat Malaysia, dan dipecahkan lagi mengikut bangsa, jumlah penonton drama Melayu amatlah sedikit.

“Saya tak ada peluang memilih. Asalkan ada rezeki, ada makanan untuk anak dan isteri,” kongsinya.

Bagaimanapun, pelakon itu bersyukur kerana pendekatannya yang tidak terlalu memilih watak membolehkannya terus bertahan dan kekal relevan dalam industri sehingga hari ini.

“Saya sangat bersyukur, sikap tidak memilih watak inilah yang membuatkan saya masih relevan dalam industri seni sampai ke hari ini. Yang seangkatan ramai yang sudah hilang, ada yang berniaga dan sebagainya. Alhamdulillah saya masih di sini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Raja kembali bekerjasama dengan pasukan produksi drama RTM selepas lapan tahun menerusi telefilem 'Camar Poelang'.

Beliau menyifatkan peluang membawakan watak Zahir dalam naskhah tersebut sebagai pengalaman istimewa yang sukar diperoleh dalam kerjayanya sebagai pelakon.

“Bagi pelakon yang gemar menjayakan watak yang berseni, mereka akan memilih RTM. Cerita ini pula sangat seronok untuk dilakonkan.

“Dengan barisan pelakon yang membintangi dalam drama ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terlibat dalam drama ini.

“Yang paling memberangsangkan adalah sinematografinya yang sangat cantik. Ia menunjukkan betapa Malaysia, khususnya Terengganu memiliki kawasan yang indah untuk penggambaran,” katanya.


Sumber: Utusan



0 Comments

|

7 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content