Wan Sharmila Terbit Buku Sulung, Ajak Wanita Perbaiki Diri Sebelum Cari Jodoh

Pelakon Wan Sharmila tampil dengan naskhah sulung berjudul 'Menjadi Saidatina Khadijah Sebelum Bertemu Nabi Muhammad SAW' sebagai usaha berkongsi panduan ringan kepada wanita Muslimah dalam memperbaiki diri ke arah menjadi insan yang lebih baik.

Wan Sharmila atau nama sebenarnya, Wan Sharmila Wan Muhamed, 45 berkata buku tersebut bukanlah sebuah karya sejarah yang mengupas perjalanan hidup isteri Rasulullah SAW secara terperinci. Sebaliknya, ia mengetengahkan pendekatan santai dan simbolik sebagai inspirasi buat golongan wanita dalam mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam perkahwinan serta kehidupan yang diredai Allah SWT.

Menurutnya, pemilihan nama Saidatina Khadijah pada judul buku itu dibuat kerana tokoh agung Islam tersebut memiliki sifat-sifat mulia yang wajar dijadikan teladan oleh wanita masa kini.

"Kita tidak akan boleh mendapat pasangan sama seperti Nabi kerana Baginda seorang Rasul manakala kita hanyalah manusia biasa.

"Nama Sayyidatina Khadijah digunakan sebagai simbolik kerana beliau antara contoh wanita syurga yang perlu kita pelajari dan contohi sifat-sifatnya. Walaupun seseorang itu tidak mencari jodoh, mereka tetap perlu mempersiapkan diri untuk menjadi versi lebih indah, baik dan diredai Allah.

"Di dalam buku ini, saya muatkan kata-kata yang pernah saya pelajari sebelum ini, doa-doa yang pernah didengar, selain menyelitkan kisah Nabi bersama isteri Baginda serta contoh kehidupan lain.

"Ia memberi ruang kepada golongan Muslimat belajar tentang sifat yang patut ada sebelum mendirikan rumah tangga. Sebelum kita mencari pasangan yang bagus, kita sendiri perlu perbaiki diri dahulu," katanya.

Mengulas mengenai proses penyelidikan dan semakan kandungan, Wan Sharmila mengakui penerbitan buku tersebut dilakukan dalam tempoh yang agak singkat. Namun, aspek ketepatan fakta terutama melibatkan ayat al-Quran, hadis dan doa tetap diberikan perhatian serius.

Katanya, setiap kandungan berkaitan agama telah dirujuk dan disemak semula oleh pihak yang mempunyai kepakaran bagi memastikan maklumat yang dikongsikan adalah tepat.

"Idea dicurahkan dalam buku ini hasil kolaborasi saya dan penerbit. Segala kandungan termasuk doa, petikan ayat Al-Quran dan hadis kami hantar kepada seorang ustaz yang memang sedia ada dalam pasukan produksi untuk disemak semula.

"Perkara-perkara berkaitan agama ini tidak boleh dibuat main. Jadi, kami minta ustaz untuk 'double check' supaya apa yang dikeluarkan adalah betul. Namun, sekiranya terdapat sedikit kesilapan, itu adalah kelemahan daripada pihak kami sebagai manusia dan saya memohon maaf. Tetapi apa yang pasti, kami sudah cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Wan Sharmila menyifatkan buku berkenaan sebagai perkongsian ilmu asas yang pernah dipelajarinya sepanjang kehidupan, disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan santai untuk bacaan umum.

"Buku ini ringkas dan santai sahaja kerana saya sendiri masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Apa yang penting, saya cuba menyampaikan sedikit sebanyak ilmu asas untuk menjadi seorang wanita muslimah yang diredai Allah.

"Apabila kita sudah bersiap sedia dengan acuan yang sepatutnya, InsyaAllah sekiranya ditakdirkan belum bertemu jodoh, kita boleh menerima segalanya dengan tenang dan reda.

"Sebaliknya, jika bertemu jodoh kelak, kita sudah tahu persiapan untuk menjadi seorang isteri dan faham ciri-ciri pasangan yang patut dicari," kongsinya.

Sumber: Harian Metro



0 Comments

|

12 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content