Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan dia pernah mencagarkan sijil kelahiran anaknya, Syamsul Yusof, ketika berhadapan cabaran untuk bertapak dalam industri kira-kira 40 tahun lalu.
Menurut Yusof, 72, pada waktu itu dia berdepan kekangan kewangan yang serius sehingga terpaksa meminjam wang daripada seorang kenalan isterinya yang disifatkan sebagai 'ah long Melayu'.
Tanpa mendedahkan jumlah pinjaman diterima, Yusof mengakui cagaran yang digunakan sebenarnya tidak mempunyai nilai, namun pinjaman tersebut tetap diberikan atas dasar kepercayaan.

"Sebenarnya 'ah long' itu kira macam kawan kerana dia merupakan kenalan isteri saya. Kalau ikutkan cagaran surat beranak itu tidak kuat (tiada nilai).
"Namun atas dasar percaya, dia (peminjam) memberikan saya pinjaman wang tersebut. Mungkin sebab pada waktu itu saya pun memiliki restoran.
"Saya rasa kalau tak ada restoran (perniagaan) dia pun takkan bagi pinjam wang sebanyak itu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepadanya atas bantuan diberikan," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yusof memberitahu pinjaman tersebut berjaya dilunaskan dalam tempoh lima hingga enam bulan selepas projek drama yang diusahakan selesai dan bayaran diterima daripada stesen televisyen.
Jelasnya, dunia perniagaan dan penerbitan pada waktu itu penuh risiko dan memerlukan keberanian.

"Saya dapat cagar semula surat beranak itu selepas tempoh lima ke enam bulan. Selepas projek drama selesai dan dapat pembayaran daripada stesen TV.
"Dulu nak berniaga pun bukan senang, saya memang 'gamble' saja tapi itu pun tidak hanya mengharapkan duit daripada pinjaman.
"Sebenarnya saya tak setuju untuk buat pinjaman tetapi keadaan waktu itu sangat terdesak. Kalau tidak projek itu gagal," ujarnya.
Tambah pengarah drama Gerak Khas ini, pinjaman daripada ahlong itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan bantuan kewangan yang diterimanya.
Ahli keluarga seperti bapa mentua dan ipar duai turut banyak menghulurkan bantuan dalam tempoh sukar tersebut.
"Semua ini kisah lama lebih kurang 40 tahun lalu. Waktu itu saya baru nak mulakan produksi tak cukup duit. Banyaklah hal, pinjam wang saudara mara. Itu semua proses kehidupan.
"Saya pinjam daripada 'ah long' itu pun hanya sebahagian saja. Bapa mentua dan ipar duai pun banyak membantu.
"Ini semua liku-liku dalam kehidupan. Kita hanya berusaha tetapi Allah yang menentukan rezeki kita," jelasnya.

Dalam masa sama, Yusof menasihatkan pengarah dan penerbit baharu agar menjauhkan diri daripada ah long, terutama yang tidak dikenali.
"Kalau boleh saya nasihatkan elakkan meminjam daripada ah long.
"Saya tak galakkan pengarah-pengarah baru untuk pinjam duit daripada ah long. Saya sendiri tak berani.
"Saya berani buat cagaran ini pun kerana mengenali individu terbabit," katanya.
Yusof membuat pendedahan ini menerusi Buat Saja Podcast.
Kongsi Yusof, dia dalam keadaan terdesak dan mahu merebut peluang bagi mendapatkan kontrak drama bernilai RM300,000 daripada stesen televisyen RTM.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|142 Views
No Comments yet
Be the first to comment.