Zahirah MacWilson Terima Kritikan Watak Dahlia Dalam Good Boys Go To Heaven

Pelakon Zahirah MacWilson memilih untuk menerima secara terbuka setiap pandangan penonton terhadap lakonannya sebagai Dahlia dalam drama bersiri Good Boys Go To Heaven, termasuk kritikan yang diterima di media sosial.


Menurut Zahirah atau nama penuhnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, dia sedar setiap penonton mempunyai penilaian tersendiri dan tidak pernah meletakkan sasaran untuk memuaskan hati semua pihak.

“Saya tak harapkan semua orang suka saya, saya tak harapkan semua orang suka lakonan saya. Saya berada di sini kerana pengarah dan penerbit percaya kepada saya, dan saya cuba memberikan yang terbaik.

“Mestilah ada masanya saya akan rasa, ‘kalaulah saya boleh buat lebih baik’ atau ‘Patutnya saya buat macam ini’. Itu normal bagi saya. Benda itu memang akan ada.

“Tapi saya bukan di sini untuk mendapatkan pengesahan sesiapa. Selagi ada orang di luar sana yang rasa sesuatu atau terkesan dengan lakonan saya, maka tugas saya sudah selesai.

“Jika mereka tidak suka, itu hak dan pendapat masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Good Boys Go To Heaven di 1 Utama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai reaksi penonton, Zahirah berkata antara perkara yang sering dipersoalkan adalah cara watak Dahlia berdepan kehilangan anaknya, Ahyan, yang dianggap kurang menunjukkan emosi berbanding jangkaan sesetengah penonton.

Bagaimanapun, jelasnya, pendekatan tersebut dibuat berdasarkan arahan pengarah, Ariff Zulkarnain, yang mahu watak berkenaan menimbulkan tanda tanya dan syak wasangka dalam kalangan penonton.

“Ariff memang ada pesan supaya jangan terlalu banyak menangis kerana dia mahu watak Dahlia kelihatan seperti suspek.

“Tapi saya juga mahu tunjukkan kesedihan berlaku dengan pelbagai cara, tidak semestinya perlu nangis atau meratapi, kerana ada orang apabila terlalu sedih dia tak mampu menangis langsung ketika itu.

“Ia bergantung kepada situasi, mentaliti, dan bagaimana dia dibesarkan. Watak saya ada banyak benda berlaku, dia dan suaminya dituduh membunuh.

“Terlalu banyak benda berlaku sampai dia tak ada masa nak duduk dan meratapi kematian anaknya pada waktu itu.

“Tapi ya, saya rasa sesetengah penonton nampak dari satu dimensi sahaja iaitu kalau mati kena nangis masa itu juga. Tapi tak selalu macam itu. Kadang-kadang orang yang paling diam itulah yang paling bergelut dengan perasaan mereka,” katanya.

Terdahulu, watak Dahlia yang dibawakan Zahirah menerima pelbagai reaksi daripada penonton. Ada yang memuji penghayatan emosinya sebagai seorang ibu yang kehilangan anak, manakala sebahagian lagi berpendapat ekspresi kesedihan yang ditampilkan kurang menyerlah.

Malah, Zahirah turut membalas salah satu komen tersebut secara berseloroh dengan meminta penonton menutup mata setiap kali dia muncul di skrin, namun tetap berharap mereka meneruskan tontonan drama berkenaan.

Untuk rekod, Good Boys Go To Heaven mengangkat kisah pembunuhan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun bernama Ahyan di Kuala Makar.

Drama thriller psikologi arahan Ariff Zulkarnain itu terus menjadi perhatian penonton apabila pelbagai teori mengenai identiti pembunuh sebenar Ahyan hangat diperkatakan sejak episod pertama ditayangkan.

Sumber: utusan



0 Comments

|

4 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content