Zul Yahya Dedah Pernah Rugi RM1.1 Juta, Rumah Dilelong, Hampir Pinjam Ah Long Selamatkan Rumah
- #hiburan
- #tempatan
- #selebriti
- #pelakon
- #zulyahya
- #masalahselesai
- #rumahdilelong
Pelakon dan usahawan, Zul Yahya mendedahkan pernah berdepan detik sukar apabila mengalami kerugian mencecah RM1.1 juta dalam perniagaan sehingga hampir kehilangan rumah yang didiami bersama keluarganya.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya, 53, berkata dia terkejut apabila menerima notis daripada pihak bank sekitar Februari lalu yang memaklumkan kediaman tersebut akan dilelong.
“Apabila bank keluarkan notis dan rumah yang saya duduki bersama anak-anak disenaraikan untuk lelongan, memang saya terkejut.
“Selepas itu, notis lelongan turut ditampal di pagar rumah. Saya pernah memiliki dua buah rumah sebelum ini dan sebuah daripadanya sudah pun dilelong. Saya reda dengan perkara itu,” katanya.
Menurut Zul, situasi melibatkan rumah yang sedang didiaminya lebih memberi kesan kerana dia telah mengeluarkan kos yang besar untuk melakukan pelbagai pengubahsuaian.
“Rumah yang kami duduki sekarang ini berbeza kerana banyak wang sudah dilaburkan untuk pengubahsuaian.
“Namun apabila rumah dilelong, nilai pengubahsuaian itu tidak diambil kira kerana harga ditentukan berdasarkan keadaan asal rumah. Memang terasa kerugiannya,” ujarnya.
Dalam usaha menyelamatkan kediaman tersebut, Zul mengambil keputusan berkongsi kesulitannya di TikTok dan memohon bantuan orang ramai.
Katanya, dia sanggup mengetepikan rasa malu kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih parah sehingga terpaksa membuat pinjaman daripada ah long.
“Malam itu saya buat solat hajat dan fikir macam mana nak selesaikan masalah ini. Ketika itu saya cuma ada kurang dua minggu sebelum rumah dilelong.
“Bila saya berkongsi di media sosial, ada yang bertanya sama ada saya tidak malu meminta bantuan.
“Tetapi saya fikir, daripada kehilangan rumah atau berhutang dengan ah long yang hanya menambah masalah, lebih baik saya berusaha mencari jalan lain,” katanya.
Menurut Zul, keberanian yang diberikan Allah untuk berkongsi masalah tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila ramai tampil menghulurkan bantuan.
“Alhamdulillah, ramai yang membantu dan akhirnya masalah rumah itu berjaya diselesaikan.
“Melalui pengalaman itu juga saya dapat melihat ramai orang diberi peluang untuk melakukan kebaikan,” katanya.
Tambah Zul, dia kini tidak lagi menerima sebarang sumbangan kerana masalah utama yang dihadapinya sudah berjaya diselesaikan.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|4 Views
No Comments yet
Be the first to comment.